Panduan dekorasi rumah kecil dan sempit

Panduan dekorasi rumah kecil dan sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPUNYAI rumah yang kecil bukanlah perkara yang asing di kalangan rakyat Malaysia. De­ngan peningkatan kos sara hidup didorong oleh inflasi, orang ramai terpaksa menyewa atau membeli rumah bertingkat kos rendah, rumah mikro, perumahan PPR dan sebagainya.

Tetapi jangan bimbang, rumah yang kecil masih boleh diubah suai bagi meningkatkan keselesaan dan aura kediaman tersebut.

Apa jenis rumah sekali pun berbaloi untuk diubah suai supaya sedap mata memandang waktu pulang selepas penat bekerja.

Pilih warna cat yang cerah atau neutral

Pemilihan warna cat adalah sangat penting untuk menampilkan aura rumah. Ia bukan sahaja berfungsi untuk mencantikkan ruang kediaman, tetapi juga berperanan untuk mewujudkan suasana serta membuatkan kediaman menjadi lebih luas atau kecil bergantung kepada warna cat yang dipilih

Sekiranya anda memilih warna yang gelap, ia akan menampakkan ruangan itu sempit dan sesak. Jadi, pilihlah warna cat dinding yang cerah.

Anda juga boleh menggabungkan beberapa warna pastel sebagai warna dinding anda. Pilihan warna yang tepat adalah neutral contohnya seperti kelabu, kuning air dan putih.

Masukkan unsur  alam semula jadi

Sebaiknya belilah pokok yang betul-betul sedut karbon dioksida dan lepaskan oksigen. Kini, sudah banyak pokok hiasan yang hidup dijual.

Terutamanya apabila duduk di bandar, yang sentiasa dipenuhi dengan asap kenderaan, dengan adanya pokok itu ia pasti akan membantu mengurangkan stress sekali.

Selain membuat rumah anda nampak cantik, kelebihan pokok-pokok termasuklah mengurangkan kemurungan, membantu pengedaran udara dalam rumah, membantu memori dan kesihatan mental dan mengurangkan kesan cuaca panas.

Sebab itulah makin ramai yang beli pokok hiasan untuk letak dalam rumah. Namun, kalau anda lebih gemar untuk memilih pokok palsu kerana malas mahu menjaga pokok hidup, tiada masalah. Pilihan di tangan masing-masing.

Pokok palsu boleh digantung dalam rumah, atau lekapkan di dinding. Ia mampu mewujudkan suasana yang penuh udara segar di dalam rumah.

Pakai pembahagi ruang

Pembahagi ruang amat pen­ting terutamanya jika anda tinggal di pangsapuri studio kerana ia hanya mempunyai satu ruang yang besar tanpa.

Boleh naik rimas sekiranya tiada penghadang yang boleh mengasingkan bilik tidur, ruang tamu dan dapur.

Jika ada bajet, pilihlah pembahagi ruang jenis kaca sebab ia tidak menghalang laluan cahaya dan pada masa yang sama memberikan hasil yang elegan dan eksklusif.

Rak buku yang tinggi pula boleh menjadi pembahagi ruang yang praktikal kerana anda akan ada ruang simpanan dan tempat meletakkan hiasan.

Selain itu, langsir juga boleh digunakan sebagai pembahagi ruang tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak.

Gunakan perkakas yang kecil-kecil

Selain perabot, pemilihan perkakas rumah juga adalah sangat penting. Pilih perkakas yang bersaiz kecil, reka bentuk yang kompak dan muat untuk diletakkan di setiap ruangan agar rumah anda kemas dan kekal teratur.

Penggunaan mesin basuh yang mempunyai dwi-fungsi iaitu pengering dan pencuci juga adalah plihan yang bijak.

Gunakan permaidani bercorak jalur

Dengan menggunakan permaidani bercorak jalur, mata kita akan tertipu dengan corak tersebut dan membuatkan rumah kelihatan lebih panjang dan luas berbanding saiz sebenarnya.

Jadi, sekiranya anda mahu membeli permaidani, pastikan coraknya tidak akan membuatkan ruang rumah anda lebih sempit dan sesak.

Lampu gantung

Ruang yang kecil agak sukar untuk meletakkan lampu berdiri atau lampu meja dan sebagainya kerana ia boleh memakan ruang serta menjadikannya tampak lebih kecil.

Oleh itu, gantungkan lampu dengan pelbagai pilihan yang menarik. Ruang kediaman anda akan lebih menarik dengan pencahayaan yang cantik.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan konsep pantulan. Terutamanya untuk rumah kecil macam perumahan PPR yang kadang kala cahaya tidak cukup masuk rumah.

Jika untuk ruang tamu atau ruang makan, gunakan pelbagai saiz dan bentuk cermin kerana ia membantu memantulkan cahaya di dalam ruangan yang comel itu.

Jika anda tidak suka banyak-banyak cermin, boleh juga gunakan satu cermin yang besar sebagai hiasan.

Satu lagi cara untuk membuatkan ruangan anda nampak lebih besar ialah dengan menggunakan permukaan berkilat pada kemasan kabinet.

Contohnya di dapur, permukaan yang berkilat tu akan memantulkan cahaya dan secara automatik dapur anda akan te­rus rasa luas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN