NTT lancar pusat data baharu bernilai RM234 juta di Cyberjaya - Utusan Malaysia

NTT lancar pusat data baharu bernilai RM234 juta di Cyberjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: NTT Ltd. sebuah syarikat infrastruktur dan perkhidmatan teknologi maklumat melancarkan pusat data baharunya, Cyberjaya 6 (CBJ6) di kampus NTT Cyberjaya dengan nilai pelaburan lebih RM234 juta.

Menurut kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), fasiliti yang dibangunkan melalui anak syarikatnya, NTT Global Data Centers Corporation itu adalah sejajar dengan visi pertumbuhan digital Malaysia yang menyasarkan Malaysia menjadi ‘Harimau Digital Asia’ menjelang 2025.

CBJ6 melengkapkan Pusat Data Cyberjaya 5 (CBJ5) yang dibina pada 2021, gabungan fasiliti tersebut mempunyai 20,000 meter persegi ruang dan beban fasiliti sebanyak 22 megawatt (MW).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, pengembangan berterusan NTT di Malaysia adalah bukti kukuh keyakinan syarikat terhadap keupayaan Malaysia sebagai hab pusat data di rantau ini.

Katanya, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), MIDA akan terus menarik projek berteknologi tinggi strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terhubung secara digital, bercirikan infrastruktur digital yang luas dan boleh dipercayai.

“Pertumbuhan pesat Asia, di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dalam ekonomi membangun telah menyebabkan syarikat multinasional meningkatkan pelaburan digital untuk menyokong perniagaan mereka yang semakin berkembang di rantau ini.

“Malaysia telah memperoleh reputasi yang kukuh dalam sektor pusat data global, khususnya di rantau Asia Tenggara.

“Unjuran saiz pasaran pusat data negara dianggarkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 16.15 peratus antara 2022 dan 2027 dan dijangka meningkat sebanyak AS$2.9 bilion (RM13.68 bilion), menurut laporan Malaysia – Data Center Market 2023-2027 oleh Technavio,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pusat Data Global NTT Malaysia, Ho Yee Chung berkata, kampus NTT Cyberjaya berkembang selari dengan pertumbuhan digital Malaysia sepanjang dua dekad lalu.

“Pusat Data Global NTT Malaysia dengan bangganya mengekalkan ketersediaan tinggi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, terima kasih kepada pasukan mahir kami yang terdiri daripada 60 jurutera dan pengendali.

“Dengan pelancaran CBJ6, kami percaya kami adalah penyedia utama perkhidmatan pusat data, menawarkan kemudahan dan kepakaran moden yang diperlukan oleh ‘hyperscaler’ di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya