Motosikal elektrik buatan Indonesia masuki pasaran tempatan

Motosikal elektrik buatan Indonesia masuki pasaran tempatan

INDERA Hermono mencuba motosikal United E-Motor TX3000 selepas melancarkan motosikal elektrik Artroniq X United E-motor di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Artroniq Berhad dengan kerjasama syarikat pembuat motosikal elektrik Indonesia, United E-Motor mensasarkan jualan 2,000 unit motosikal elektrik menjelang penghujung 2024.

United E-Motor sebuah jenama motosikal elektronik dibawah naungan pengeluar basikal Indonesia PT Terang Dunia Internusa (PT TDI), menjalin kerjasama dengan Artroniq sebagai pengedar motosikal berkenaan di negara ini.

Kerjasama itu menyaksikan dua model pertama yang dibawa masuk dengan teknologi dan inovasi motosikal elektrik terbaharu dari Indonesia, TX3000 dan TX1800 yang menampilkan rekaan moden.

Ketua Pegawai Kewangan Antroniq Bhd., Marcus Chin berkata, kedua-dua model berkenaan akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pemasangan di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan 30 peratus komponen tempatan, manakala selebihnya dari Indonesia.

“Kami akan melaksanakan sesi pandu uji secara besar-besaran sehingga 24 Disember ini, yang mana peserta pandu uji berpeluang memenangi motosikal TX3000.

“Kami menjangkakan mampu menjual sebanyak 2,000 unit motosikal menjelang akhir 2024. Sasaran kami adalah pelajar universiti di mana penggunaan motosikal elektrik dapat memberi kemudahan kepada mereka, selain mengurangkan kos, memastikan alam sekitar terjaga dan meningkatkan kelestarian alam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian motosikal itu di Bukit Jalil, hari ini.

Jelasnya, Model TX3000 menampilkan prestasi dengan kelajuan tertinggi sehingga 90 Kilometer/jam dengan jarak perjalanan sehingga 120 Kilometer dengan setiap pengecasan penuh. Model TX1800 pula memiliki slot bateri lithium berkapasiti 60 volt, berkelajuan maksimum 75 km/j dan jarak perjalanan 65 km.

Kedua-dua motosikal itu hadir dengan waranti setahun untuk pengecas elektrik, waranti tiga tahun untuk bateri dan servis percuma selama setahun.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Indera Hermono.

Marcus menjelaskan, kedua-dua syarikat akan turut bekerjasama untuk melancarkan motosikal elektrik ke negara ASEAN lain bermula dengan Thailand dalam tempoh terdekat.

Marcus Chin menjelaskan, motosikal elektrik tersebut diharap dapat menyokong hasrat kerajaan dalam melonjakkan pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan.

“Saya faham Malaysia kini kearah penggunaan EV jadi, diharap permulaan kemasukan jualan motosikal elektrik ini dapat menarik pengguna memilih kenderaan yang lebih lestari dan mengurangkan kos,” katanya.

Dalam Belanjawan 2024 lalu, kerajaan mengumumkan akan melonjak pembangunan industri EV tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

Bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN