PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhasrat untuk membeli Boustead Plantations Bhd (BPlant) pada harga tawaran RM1.55 sesaham.
Ia berlaku selepas cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam BPlant oleh LTAT dan Boustead Holdings Bhd. (BHB) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) gagal.
“Berikutan penamatan ini, LTAT ingin mengumumkan bahawa ia berhasarat untuk meneruskan tawaran am BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, tertakluk kepada kelulusan kawal selia,” kata LTAT dalam satu kenyataan semalam.
Menurut BPlant dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LTAT akan membuat pengumuman atau pemberitahuan yang berkaitan apabila diperlukan menurut keperluan Bursa Malaysia Securities Berhad, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan/atau mana-mana pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Memetik laporan The Edge, pada harga tawaran RM1.55 sesaham, ia mewakili premium sebanyak 22 peratus berbanding harga dagangan terakhir BPlant sebanyak RM1.27 pada Selasa.
LTAT dan Boustead memegang sejumlah 68 peratus kepentingan dalam BPlant. LTAT telah mengambil Boustead secara peribadi pada awal tahun ini.
LTAT dilaporkan perlu membelanjakan sebanyak RM1.11 bilion untuk baki 716.8 juta saham, bersamaan dengan 32 peratus faedah yang ia belum miliki.
BPlant dalam makluman di Bursa Malaysia semalam memaklumkan pembatalan cadangan – UTUSAN










