Icon Sunsuria buka pusat kanser pertama di Island Hospital 

Icon Sunsuria buka pusat kanser pertama di Island Hospital 

Majlis pertukaran dokumen kerjasama antara Icon Sunsuria dan Island Hospital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Icon Sunsuria Sdn. Bhd. (Icon Sunsuria) mengumumkan kerjasama dengan Island Hospital yang akan membawa kepada penubuhan pusat kanser pertama mereka di Malaysia.

Pusat kanser itu dijadualkan dibuka di Pulau Pinang pada awal 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Icon ASEAN dan Hong Kong, Serena Wee berkata, kerjasama itu menghimpunkan kepakaran mendalam Icon Group dalam onkologi, merangkumi lebih daripada 300 doktor, lebih 50 pusat kanser dan lima kemudahan pengkompaunan kemoterapi serta kemudahan bertaraf dunia di Island Hospital.

Beliau berkata, ia membolehkan pesakit tempatan dan serantau untuk mendapat akses kepada penjagaan kanser yang komprehensif dan berasaskan bukti.

Katanya, misi teras Icon Sunsuria adalah untuk memastikan bahawa penjagaan kanser lanjutan boleh diakses dengan pendekatan yang menyeluruh dan berpusatkan pesakit.

“Kerjasama kami dengan Island Hospital merupakan bukti terbaik kepada misi ini, yang mana kami menggabungkan kepakaran onkologi kami yang meluas dengan institusi penjagaan kesihatan yang terkemuka.

“Bersama-sama, kami akan memanfaatkan keupayaan kolektif kami untuk membantu mengurangkan jurang dalam akses penjagaan kanser dan menangani beban penjagaan kesihatan.

“Perkongsian ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam visi kami untuk menyediakan penjagaan kanser bertaraf dunia dan akses yang lebih meluas kepada rawatan kanser berkualiti untuk para pesakit di Malaysia dan rantau ini.

“Melalui kerjasama ini, kami akan memperkasakan pesakit dan keluarga mereka dengan pengetahuan dan sumber dalam memerangi kanser dan mengambil langkah penting ke arah kemandirian,” katanya dalam kenyataan sempena pemeteraian kerjasama itu semalam.

Kerjasama itu ditandangani oleh Serena, manakala Island Hospital diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Wee. Majlis itu disaksikan oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunsuria Berhad, Tan Sri Ter Leong Yap dan Ketua Staf Island Hospital, Lim Kooi Ling.

Dalam pada itu, Mark berkata, perkongsian menandakan komitmen teguh Island Hospital untuk terus membangunkan onkologi sebagai antara tonggak kecemerlangan perubatannya.

Jelas beliau, kerjasama itu mengesahkan komitmen Island Hospital untuk meningkatkan akses bagi pesakit dari seluruh rantau kepada rawatan dan teknologi terbaik, menawarkan pelbagai rawatan kanser yang berbagai disiplin, disokong oleh pasukan profesional dan peralatan perubatan terapeutik termaju.

“Di samping itu, kami percaya bahawa dengan memahami keperluan pesakit kami, kerjasama ini akan memarakan kerjasama awam-swasta yang dibayangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memajukan penjagaan kanser untuk komuniti kami di bawah prinsip penjagaan berpusatkan orang,” katanya.

Ditubuhkan pada 1996, Island Hospital merupakan institusi penjagaan kesihatan yang diiktiraf antarabangsa dengan 600 katil. Sebagai hospital utama dalam bidang pelancongan perubatan di Malaysia, Island Hospital telah meraih beberapa anugerah.

Dengan anggaran 200,000 lawatan kesihatan oleh pengembara dari lebih 70 negara pada 2023, Island Hospital berada di barisan hadapan industri dan memainkan peranan penting dalam Pelan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN