Harley-Davidson Nightster Kesinambungan untuk generasi baharu

Harley-Davidson Nightster-Kesinambungan legasi untuk generasi baharu

Meneruskan gah pada jenama. - UTUASN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAR untuk menyatakan ke­ku­rangan sebarang spesifikasi pada mana-mana model Harley-Davidson (H-D). Ini kerana, kekuatan jenama itu sendiri yang melebihi perakuan terhadap mana-mana kekurangannya.

Kekuatan jenama dan gaya hidup H-D yang telah lebih seabad lamanya dalam pasaran global, terutama di Amerika Syarikat, membuatkan pemiliknya ‘menerima’ tentang sebarang kekurangan yang ada pada mana-mana model H-D.

Harley-Davidson kini telah mengembangkan operasi pemasangan dan pembuatan mereka ke Thailand dan India untuk membolehkan kos dan harga jualan kekal relevan untuk pasaran di sebelah dunia timur ini dan juga untuk generasi-generasi baharu yang menginginkan gaya hidup H-D.

Berat, bunyi enjin yang kasar, kurang kelajuan walau berkapasiti enjin yang besar, harga jualan, aksesori, dan upah penyelenggaraannya ternyata lebih mahal daripada kereta Proton anda. Ini adalah antara kelemahan ketara terhadap kebanyakan model-model H-D yang ada dalam pasaran.

Jika soal kewangan tidak menjadi isu, nescaya setiap pencinta jentera dua roda akan memilih untuk memilikinya. Adakah model NIGHTSTER ini juga salah satu daripadanya? Ayuh kita perjelaskan keberadaan jentera ini.

REKA BENTUK FIZIKAL
Tidak dapat dinafikan, ia sebuah jentera Harley-Davidson. Perkataan Cruiser atau Easy Rider mula bermain dalam fikiran. Nightster didatangkan dengan dua variasi iaitu Nightster dan Nighster Special. Sudah tentu tambahan perkataan Special tersebut membayangkan beberapa penambahan sifat ataupun aksesori pada model ini.

Walaupun begitu, secara kasarnya ia adalah model yang didasarkan daripada variasi SPORTSTER. Sebuah barisan model H-D yang boleh dianggap sebagai jentera pengenalan untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dengan jenama terbesar dari Amerika ini.

Kedua-dua variasi Nightster didatangkan dengan warna hitam (di samping beberapa variasi yang mempunyai kelainan warna pada tangki bahan api) sebagai warna ‘rasmi’ motor-motor kruiser. Model Nightster yang biasa menggunakan bar pemegang yang agak rendah, tiada pelana pembonceng dan penggunaan lampu hadapan yang standard tanpa sebarang pelindung.

Kedudukan pelananya juga rendah se­perti kebanyakan model kruiser lain, yang membolehkan penunggang berpijak selesa pada permukaan jalan ketika berada atas motosikal dalam keadaan statik. Seperti kebanyakan model-model Sportster, Nightster menggunakan pemijak kaki yang tidak menjulur ke hadapan tetapi lebih berada pada posisi yang lebih neutral.

Menukar tumpuan anda ke bahagian enjin, Nightster dijana oleh enjin H-D Revolution Max V-Twin, yang mempu­nyai ke­upayaan 975cc, dikhabarkan menghasilkan 90 kuasa kuda pada kadar 7,500 rpm dengan kadar kuasa tork 95Nm pada kadar rpm 5,000. Menjalinkan teknologi baharu dalam sebuah rekaan enjin yang klasik iaitu dengan penggunaan sistem penyejukan cecair.

Manakala sistem breknya pula menggunakan jenama Brembo, walaupun jenama ini begitu dikenali ramai namun saya masih merasa janggal jenama dari Itali ini digunakan pada H-D. Bukan mempersoalkan prestasi­nya tetapi H-D lebih padan kalau disesuaikan dengan jenama Screaming Eagle, yang sebelum ini bertindak sebagai pembekal aksesori berprestasi untuk H-D.

Satu lagi perbezaan yang nyata antara model Nightster yang biasa dan Special ialah rupa bentuk rekaan roda atau rimnya. Nightster biasa menggunakan rim 7 batang sementara Nightster Special menggunakan rim 14 batang.
Penggunaan penyerap hentakan hadapan kedua-dua vari­an ini menggunakan jenis Showa dan penyerap hentakan belakang boleh dilaras untuk prabeban.

Gaya, imej dan juga ketrampilan merupakan spesifikasi utama jentera ini.

PENUNGGANGAN
Walaupun saya tidak berupaya menguji Nighster Special, namun model Nightster ini telah dipasang aksesori seperti bar handle yang lebih tinggi (berbanding Nightster Special), pelindung angin pada lampu hadapan, dan pelana dan tempat pemijak kaki untuk pembonceng (modal asas tidak didatangkan dengan spesifikasi sebegini).

Sebaik keluar daripada Gasket Alley Petaling Jaya, saya mendapati bar handle tinggi ini tidak terlalu menyusahkan ketika penunggangan di laluan lurus, mahupun ketika saya ingin membuat pusingan ‘U’. Begitu pun, oleh kerana saya me­ngalami kecederaan kekal pada lengan kiri akibat kemalangan motosikal pada 2014 yang lalu, saya berasa cepat lenguh (hanya lengan kiri) selepas menunggang selama setengah jam. Keadaan ini mungkin tidak dilalui jika menggunakan bar handle standard.

Begitupun, pemijak kaki yang agak dekat dengan posisi neutral pada mulanya saya rasakan se­perti sesuatu yang tidak lengkap dengan terpasangnya bar handle tinggi ini. Namun apabila mula menelusuri lebuh raya, saya lebih menggemari posisi pemijak kaki sebegini kerana dalam keadaan yang lebih laju, saya tidak perlu memaksa kaki melunjur ke hadapan untuk melawan angin dan daya tujahan.

Untuk penjelasan terhadap kuasa enjin Nightster pula, ternyata ia cukup berkuasa pada setiap gear yang ada. Malah, saya harus mengingatkan diri sendiri keperluan untuk menukar gear lebih rendah ketika ingin keluar selekoh atau bergerak dari keadaan statik di lampu isyarat. Walau dengan gear 3, anda sudah boleh bergerak daripada keadaan berhenti sepenuhnya. Itulah antara perkara menarik tentang H-D Nightster ini.

Sistem suspensi kruiser selalu menjanjikan satu posisi kedudukan yang rendah, dan sekaligus menjanjikan rasa pantulan keras. Namun begitu, agak menghairankan Nightster ini tidak menyakitkan pinggang dan tulang belakang anda, kerana walau ia masih agak keras, namun tidak menjejas keseronokan penunggangan.

Mengambil selekoh pada kelajuan yang tinggi juga menjanjikan kestabilan. Namun begitu harus diingat, jentera ini tidak direka untuk anda ‘membelasah’ selekoh-selekoh seperti sebuah sportbike.

Saiznya yang sederhana menjadi pilihan ramai.

KESIMPULAN
Harley-Davidson memang sebuah kruiser sejati. Tiada kompromi.

Harga pasaran yang bermula daripada RM93,900 menunjukkan bahawa Nightster harus dimilikki oleh golongan yang berpendapatan tinggi. Ini belum mengira aksesori-aksesori yang ‘meracun’ anda setiap kali hadir ke ruang pamer mereka.

Harga pasaran itu juga membolehkan anda ‘membeli’ gaya hidup seorang biker tegar seper­ti yang dipertontonkan kepada anda dalam wayang gambar atau siri-siri televisyen dari Amerika. Tidak lengkap sekiranya anda tidak menyarung jaket kulit atau sekurang-kurangnya jaket jeans dan dengan pembelian daripada H-D Petaling Jaya, anda akan mendapat keahlian percuma secara setahun dalam kelab pemilik H-D chapter Petaling Jaya.

Gaya hidup H-D inilah yang sangat mempengaruhi pembeli­nya selain daripada keupayaan untuk berkonvoi beramai-ramai dengan motosikal sejenama, menghadiri acara-acara perkumpulan motosikal samada dalam negara atau yang lebih terkenal, di Thailand.

Namun, gaya hidup ‘baling-baling kerusi’ oleh ahli kelab H-D luar negara itu ja­ngan pula ditiru tau!!! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN