EPMB umum kilang pembuatan kereta baharu di Melaka

EPMB umum kilang pembuatan kereta baharu di Melaka

AB Rauf Yusoh melakukan majlis pecah tanah pembinaan kilang pembuatan bagi kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik oleh EPMB di Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan langkah penerokaan dalam industri automotif dengan kilang pembuatan kereta baharu di Melaka.

Langkah strategik ITU Sebahagian daripada komitmen EPMB untuk mewujudkan hab pembuatan bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, sekali gus memberikan sumbangan yang besar kepada peralihan global ke arah lestari.

“Pembangunan kilang baharu yang akan dilaksanakan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian HICOM Pegoh, dengan pelaburan besar melebihi RM100 juta. Projek itu dijangka mewujudkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan baharu di Melaka, mengukuhkan kepentingan negeri itu dalam industri EV serantau dan global. Setelah siap, fasa pertama kilang baharu ini akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 30,000 kenderaan setahun,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Majlis pecah tanah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Pengarah Eksekutif Kanan, Advokasi Dasar Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman.

Projek itu katanya, mengukuhkan perkongsian strategik EPMB dengan BAIC International Development Co Ltd (“BAIC International”), sebuah syarikat dalam Senarai Fortune Global 500 dan peserta utama dalam industri automotif China.

Jelasnya, EPMB telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BAIC International pada Ogos, menetapkan asas untuk pengeluaran tempatan bagi kenderaan utiliti sukan BJ40P dan X55II BAIC, kenderaan enjin pembakaran bahan api dalaman (ICE) pemanduan sebelah kanan (RHD), dan EV.

EPMB juga menjangka untuk memasang kenderaan bagi Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn. Bhd. (GWM Malaysia), anak syarikat Great Wall Motor Co., Ltd. (GWM) di kilang itu, berdasarkan MoU yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada 18 Oktober 2023.

Sementara itu, Arham berkata, kerjasama dengan BAIC adalah bukti keyakinan mereka terhadap daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan menggariskan keupayaan pembuatan automotif termaju negara, dengan didahului EPMB.

“Kemudahan pembuatan baharu ini, khusus untuk EEV dan EV, adalah selaras dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB), Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030).

“Dasar ini ditetapkan untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran yang sensitif kepada aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan ekosistem teknologi sektor pembuatan dan komitmen Malaysia ke arah sektor pengangkutan yang lestari,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Ahmad Razlan Mohamed pula berkata, Syarikat sangat gembira untuk berkongsi berita tentang permulaan kilang pembuatan automotif pertamanya.

Kata beliau, penubuhan fasiliti pembuatan EV adalah langkah penting untuk mewujudkan visi lengkap Syarikat untuk membangunkan rangkaian 360 darjah bagi pasaran EV Malaysia.

“Dengan berkolaborasi rapat bersama rakan strategik kami, BAIC, kami bersedia untuk membina kilang pembuatan EV dengan teknologi terkini di Melaka. Ini sebuah permulaan babak seterusnya dalam trajektori pertumbuhan kami.

“Selain itu, kami dengan penuh semangat menantikan kerjasama dengan GWM, pelanggan kami yang dihormati, dalam menyumbang untuk meletakkan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk EV dan EEV di rantau ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN