PETALING JAYA: Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) mencipta sejarah dalam industri aeroangkasa apabila fasiliti ujiannya disahkan sebagai hab kalibrasi rantau Asia Pasifik untuk produk-produk ujian oleh Testia, anak syarikat Airbus.
Dengan termeterainya Perjanjian Perkhidmatan Induk antara CTRM dan Testia, anak syarikat CTRM iaitu CTRM Testing Laboratory Sdn. Bhd. (CTRM TL) telah dipilih sebagai hab kalibrasi pertama untuk produk ujian Testia di rantau Asia-Pasifik, dan yang pertama di luar pangkalan Testia di Toulouse, Perancis.
Perkhidmatan lain yang akan disediakan termasuk latihan Ujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing), program Akademi Kadet NDT untuk pembangunan tenaga kerja bertauliah melalui latihan teori dan di tempat kerja, serta pengedaran produk Testia di rantau Asia-Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, pihaknya berterima kasih kepada Testia atas kepercayaan dan pengiktirafan terhadap CTRM sebagai rakan kongsi dalam bidang baharu ini.
“Usaha ini pastinya akan melonjakkan CTRM ke peringkat seterusnya dalam menyediakan perkhidmatan kalibrasi dan latihan NDT bukan sahaja kepada pelanggan tempatan malah kepada pelanggan antarabangsa di rantau APAC.
“Kerjasama ini memberi petanda baik terhadap keseluruhan strategi syarikat ke arah mengembangkan perniagaan dan penglibatan CTRM dalam industri ini.
“Kami juga berbesar hati untuk terus memberi komitmen terhadap kecemerlangan industri melalui pembangunan pakar tempatan dan pada masa yang sama menyokong inisiatif Testia untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi mengukuhkan permintaan global modal insan industri aeroangkasa,” katanya dalam kenyataan.
Melalui perjanjian ini, CTRM TL akan menawarkan perkhidmatan makmal untuk kalibrasi produk Testia dan menjadi platform pendaftaran komprehensif untuk Akademi Kadet NDT Testia.
Selain itu, CTRM TL juga sedang mengintai untuk menjadi pengedar dan pusat latihan rasmi bagi rangkaian produk dan perkhidmatan NDT Testia di rantau ini.
Pelanggan Testia di rantau Asia-Pasifik akan mendapat manfaat daripada perkembangan ini melalui masa yang lebih pantas dan kos pengangkutan yang lebih rendah kerana peralatan ujian akan diservis oleh pasukan CTRM di Melaka, berbanding makmal kalibrasi Testia di Eropah.
Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), yang ditugaskan untuk memperkukuh industri aeroangkasa Malaysia, menyatakan bahawa agensi itu menyokong penuh dan amat menggalakkan usahasama antara CTRM TL dan Testia.
Testia mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam pemeriksaan aerostruktur dan Ujian Tanpa Musnah. Manakala, CTRM TL merupakan makmal ujian yang diiktiraf oleh Airbus dengan akreditasi ISO 17025 dan kelayakan NADCAP AC7122. – UTUSAN










