PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini disebabkan tekanan jualan ke atas saham wajaran tinggi terpilih, dengan pelabur mungkin bersiap sedia menjelang pembentangan Belanjawan 2024 minggu depan, menurut peniaga.
Memetik laporan Bernama, pada 9.05 pagi, FBM KLCI susut tiga mata kepada 1,417.01, daripada penutupan semalam pada 1,420.01.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 280 berbanding 57, manakala 209 kaunter tidak berubah, 1,748 tidak diniagakan dan 24 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 140.68 juta unit bernilai RM68.76 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, tekanan inflasi yang tinggi, hasil Perbendaharaan AS yang meningkat, serta jangkaan satu lagi kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin terus meletakkan pasaran saham di bawah tekanan menurun.
“Memandangkan Wall Street berakhir dengan nada negatif, kami menjangkakan minat jualan akan muncul dalam sektor teknologi di (kaunter) hadapan tempatan, manakala sektor tenaga kekal tertekan di tengah-tengah penurunan harga minyak Brent,” kata pembrokeran itu dalam nota.
Bagaimanapun, ia berpendapat peniaga boleh memilih sektor bahan binaan dan pembinaan menjelang pembentangan Belanjawan 2024.
Antara saham wajaran tinggi ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank) pada RM8.77 sesaham dan Petronas Chemicals Group Bhd. pada RM7 tidak berubah. Public Bank Bhd. pula pada RM4.05, Tenaga Nasional Bhd. (RM9.96) susut satu sen, dan CIMB Group Holdings Bhd. turun dua sen kepada RM5.39. – UTUSAN










