PETALING JAYA: Belanjawan 2024 akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI dan mengukuhkan lagi pasaran modal yang memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi melalui pembentukan dan mobilisasi modal yang cekap.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, inisiatif diperkenalkan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab di Malaysia.
“Kami juga terangsang oleh langkah-langkah untuk merangsang ekosistem yang lebih rancak untuk menggalakkan keusahawanan di Malaysia.
“Peruntukan RM100 juta kepada inisiatif Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) dalam tempoh tiga tahun akan datang dan insentif cukai untuk pasaran ekuiti pendanaan ramai (ECF) akan merangsang pelaburan ke dalam syarikat permulaan dan perniagaan kecil yang berpotensi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana kerajaan telah mempertimbangkan pengecualian yang disasarkan ke atas pengenaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) ke atas aktiviti berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) dan modal teroka.
Katanya, ini akan memastikan aktiviti pengumpulan dana berterusan dalam pasaran modal.
“Pelanjutan insentif cukai ke atas Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Dana SRI akan menggalakkan pertumbuhan yang lebih besar dalam segmen ini.
“Ini mengukuhkan lagi peranan pasaran modal dalam memudahkan perniagaan dan pelabur untuk mengambil bahagian dalam pembiayaan dan pelaburan yang mampan,” jelasnya. – UTUSAN











