PETALING JAYA: UPM Holdings Sdn. Bhd. (UPM Holdings) memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) bagi mengambil alih kepentingan dalam Satira Sdn. Bhd. untuk meneruskan visi mereka sebagai peneraju dalam sektor pertanian menerusi industri rumput turf.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Ir. Ts. Dr. Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman berkata, pengambilalihan itu merupakan pencapaian penting bagi Syarikat dalam misinya membangunkan sektor pengeluaran turf komersial.
Beliau berkata, UPM Holdings yang merupakan syarikat milik penuh Universiti Putra Malaysia (UPM), sememangnya memfokuskan bidang pertanian sebagai salah satu sektor fokusnya.
“Dengan pengambilalihan ini membolehkan UPM Holdings menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya untuk mentransformasi teknologi Satiri Superdwarf Turf serta membangunkan penyelesaian pemasaran bersepadu,” katanya dalam kenyatan sempena SSA itu.
Majlis pemeteraian SSA dimeterai di UPM, Serdang, kelmarin. Pada majlis itu, UPM Holdings diwakili Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Syed Mohamad Hamzah, manakala Satiri diwakili pemegang sahamnya.
Menurut Syed Mohamad Hamzah, pengambilan Satiri selari dengan aspirasi UPM Holdings untuk menjadi peneraju kepada bidang rumput turf di dunia.
Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, Satiri merupakan aset tidak ternilai dan menyumbang peluang untuk kepentingan pelbagai pihak.
Beliau berkata, usahasama itu akan memberikan kesan positif kepada perkembangan pasaran sedia ada seiring dengan pembangunan inovasi secara holistik.
“Semoga dengan usahasama ini dapat memperkembangkan lagi teknologi rumput turf ke pasaran yang lebih besar,” katanya.
Satiri merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengeluarkan rumput turf yang diperakui keasliannya dengan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Fakulti Pertanian, UPM.
Keterjaminan keaslian dinilai berdasarkan spesies turf, kebolehupayaan pencemaran dan juga cara penanaman.
Satiri menyediakan khidmat pembangunan dan penyelenggaraan padang seperti padang polo, golf, bola sepak dan sebagainya.
Rumput keluaran Satiri juga sesuai digunakan di halaman rumah dan taman-taman permainan kerana kandungan silicon yang rendah dapat menghindarkan kecederaan kelukaan kulit. Di samping itu, Satiri juga menyediakan perundingan dan latihan berkaitan rumput turf. – UTUSAN










