PETALING JAYA: Rakan sekerja dan para pelanggan UOB Malaysia telah mencipta rekod dengan kutipan dana berjumlah RM2 juta untuk pelbagai badan amal melalui UOB Global Heartbeat Run/Walk tahunan Bank.
Jumlah itu melebihi jumlah kutipan dana tahun lepas sebanyak RM1.2 juta, dan akan disalurkan ke arah memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik dan masyarakat rentan daripada lima badan amal tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, Bank amat berbesar hati atas kutipan tertinggi RM2 juta dalam edisi ke-15 acara pengumpulan dana UOB Global Heartbeat Run/Walk ini.
Kata beliau, kutipan dana itu dapat menambah baik kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik dan masyarakat rentan di Malaysia.
“Bagi kami, jumlah ini bukan sahaja tentang kutipan dana; malah juga menunjukkan sikap murah hati rakan sekerja dan pelanggan kami, dan perbezaan yang mampu dilakukan demi komuniti kami.
“Acara pengumpulan dana ini dapat mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap tujuan Bank kami iaitu, `Membina masa depan ASEAN.’ Kami akan terus memberi tumpuan kepada bidang kanak-kanak, pendidikan dan seni yang merupakan teras penting dalam membina masyarakat progresif,” katanya dalam kenyataan.
Dana yang dikumpul oleh UOB Malaysia akan disalurkan terutamanya ke arah membina masyarakat inklusif selain menyokong pembangunan sosial masyarakat.
Menurut UOB, lima penerima sumbangan utama ialah Food Aid Foundation, HOPE Worldwide Malaysia, SOLS 24/7, Special Olympics Malaysia dan World Vision Malaysia.
Badan itu akan menggunakan dana tersebut untuk meningkatkan usaha berterusan dalam memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik di samping meluaskan peluang mereka mencapai potensi masing-masing.
Jelasnya, edisi ke-15 acara utama tahunan itu telah diadakan di The Arc @ Rimbayu, dengan kehadiran lebih 4,000 rakan sekerja UOB Malaysia, ahli keluarga serta pelanggan mereka.
Sebuah karnival juga telah dianjurkan di mana para peserta menikmati pelbagai permainan, persembahan dan aktiviti yang menyeronokkan, katanya. – UTUSAN










