PETALING JAYA: Ringgit berubah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan awal pagi ini di tengah-tengah sentimen lemah merentas mata wang Asia dan masalah pasaran hartanah China yang berterusan.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9 pagi tadi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.6845/6885 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.6850/6880.
Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menjangkakan ringgit akan didagangkan secara defensif apabila hasil bon 10 tahun AS mencapai paras tertinggi baharu, meningkat 10 mata asas kepada 4.53 peratus, manakala masalah pasaran hartanah China yang berterusan menjejaskan mata wang Asia
“Pasaran forex Asia tidak akan mendapat bantuan daripada Rizab Persekutuan AS (Fed) yang nampaknya komited untuk (kekalkan) kadar faedah AS lebih tinggi bagi tempoh yang lebih lama,” katanya.
Sementara itu, Ketua ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid
berkata, ringgit boleh kekal antara RM4.68 dan RM4.69 hari ini, mnjelang kemungkinan penutupan kerajaan AS pada 1 Oktober, sekiranya Kongres AS masih belum membuat keputusan mengenai rang undang-undang perbelanjaan.
Kata beliau, menurut laporan, sekiranya penutupan kerajaan berlaku, mungkin terdapat kelewatan dalam keluaran statistik seperti senarai gaji bukan ladang yang dijadualkan pada 6 Oktober dan indeks harga pengguna pada 12 Oktober.
“Ini akan membuatkan pelabur dan Fed berada dalam `kegelapan’ dalam menilai petunjuk ekonomi terkini, yang membawa kepada ketidaktentuan selanjutnya,” kata beliau.
Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro pada 4.9581/9623 daripada penutup semalam pada 4.9825/9857, namun bertambah baik berbanding pound Britain pada 5.7174/7223 daripada 5.7274/7311 dan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1467/1496 daripada 3.1523/1546.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9360/9517 daripada 12.9642/9772, tetapi tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 304.1/304.5.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4271/4303 daripada 3.4295/4319. – UTUSAN