PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan kadar penggunaan teknologi nuklear di Malaysia meningkat kepada 40 peratus menjelang 2030 berbanding 20 peratus ketika ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sasaran itu yakin dapat dicapai menerusi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) yang dilancarkan semalam.
Beliau berkata, teknologi nuklear secara aman sudah digunakan secara meluas di negara ini sejak 40 tahun lalu dan sudah tiba masanya, penggunaan teknologi itu diarusperdanakan.
“Kami juga menyasarkan nilai pelaburan dan hasil daripada industri nuklear ini mencecah RM2.4 bilion menjelang 2030 berbanding sekitar RM1 bilion ketika ini.
“DTNN 2030 adalah dasar jelas bagi memacu tahap penggunaan teknologi nukleur negara dan kita masih lagi agak kebelakang berbanding negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan DTTN 2030 di sini, semalam.
Katanya, setakat ini, teknologi nuklear di Malaysia digunakan secara meluas dalam bidang perubatan dan teknologi makanan khususnya dalam menghasilkan beras tahan penyakit serta lebih berkualiti.
Lih Kang berkata, DTNN 2030 adalah agenda negara bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman selain meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli.
Menurutnya, dasar itu akan merangka hala tuju strategik jangka panjang bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga tahun 2030.
“DTNN 2030 menggariskan enam sektor fokus utama iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan; makanan dan pertanian; pembuatan peranti dan peralatan; pengurusan alam sekitar dan sumber asli; aplikasi perindustrian; dan keselamatan dan sekuriti nuklear.
“Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) akan bertindak sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama nasional termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear.
“Nuklear Malaysia juga akan menerajui Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan di mana ahlinya terdiri daripada pakar teknikal daripada agensi kerajaan yang berkaitan, institusi berasaskan negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik,” katanya. – UTUSAN