Ringgit pulih sedikit selepas capai paras terendah - Utusan Malaysia

Ringgit pulih sedikit selepas capai paras terendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan semalam, berikutan permintaan sederhana untuk nota domestik.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6925/6970 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.6940/6980 sebelum mengakhiri dagangan pada 4.6830/6880.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi ringgit yang tidak menentu adalah disebabkan dolar AS yang semakin mengukuh.

Ujarnya, ia berikutan sentimen di AS yang menunggu pengumuman dari Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah terkini di AS yang dijangka akan kekal.

“Ringgit yang menyusut berbanding dolar AS akan menyebabkan tekanan ke atas pembelian barangan import kerana harga barangan import akan menjadi mahal.

“Sebaliknya, barangan Malaysia yang dieksport akan mendapat lebih banyak permintaan disebabkan kos pertukaran mata wang yang rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan ringgit boleh diramal kerana mata wang tempatan berada dalam kedudukan terlebih jual dari sudut teknikal.

“Tetapi, sama ada peningkatan sedikit itu boleh dikekalkan masih belum dapat dilihat berikutan kebimbangan semasa terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk memutuskan kadar faedah AS,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1766/1799 daripada 3.1776/1806 pada penutup semalam, dan meningkat berbanding euro kepada 5.0139/0187 daripada 5.0160/0203. Bagaimanapun, ringgit lebih rendah sedikit berbanding pound Britain pada 5.8135/8191 daripada 5.8126/8175.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang Asean.

Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4385/4420 daripada 3.4436/4468 pada penutup semalam, dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0037/0208 daripada 13.0563/0718.

Ringgit juga lebih baik sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 305.0/305.5 daripada 305.1/305.6 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.27/8.28. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN