PETALING JAYA: Ringgit jatuh ke paras terendah tahun ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, sementara para pelabur masih menantikan keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu ini.
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6890/6940 berbanding dolar AS daripada penutup kelmarin pada 4.6870/6915, sebelum ditutup pada 4.6965.
Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi dagangan awal.
Ringgit didagangkan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1755/1791 daripada 3.1750/1783 pada penutup Isnin dan turun berbanding euro pada 5.0116/0169 daripada 5.0020/0068 semalam, tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8059/8121 daripada 5.8128/8184 sebelumnya.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, nilai ringgit masih dipengaruhi oleh faktor luaran seperti kadar faedah baharu yang akan ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang buat masa ini pada paras 5.50 peratus.
“Jangkaan para penganalisis, pihak Fed akan mengekalkan kadar faedah tersebut. Namun, Fed dijangka masih lagi mahu mengekalkan dasar monetari yang ketat bagi memastikan kadar inflasi akan diturunkan ke paras 2.0 peratus.
“Justeru, perkara ini akan menyebabkan permintaan dolar AS meningkat, sekali gus menyebabkan nilai ringgit terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, trend kelemahan mata wang ringgit membayangkan keyakinan pelabur dan penganalisis ekonomi antarabangsa yang semakin lemah terhadap ekonomi negara.
“Saya lihat ringgit semakin merosot setelah tindakan mahkamah membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
“Perlu diingat, kadar pertukaran asing ini membayangkan keyakinan pasaran. Jadi, apabila kerajaan melaungkan tentang penghapusan rasuah namun tiba-tiba terdapat kes rasuah yang menunjukkan kelonggaran sistem perundangan negara, ia menyebabkan keyakinan pelabur semakin melemah,” ujarnya.
Jelas beliau, kerajaan perlu memperbaiki sentimen pelabur dan penganalisis antarabangsa dengan persepsi baharu bagi membaik pulih nilai ringgit.
“Pada pendapat saya, kejatuhan ringgit ini tidak akan berpanjangan dan persepsi akan bertambah baik kemungkinan selepas Belanjawan 2024 diumumkan bulan depan.
“Kita tidak perlu tergopoh-gapah menaikkan nilai ringgit kerana kelemahan itu dengan dolar AS sahaja. Walaupun penting, namun ia bukan satu-satunya mata wang yang digunakan dalam perdagangan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










