PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini berikutan permintaan sederhana untuk mata wang tempatan.
Memetik laporan Bernama, pada 9.22 pagi, mata wang negara meningkat kepada 4.6825/6860 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu pada 4.6865/6920.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit kekal dalam julat `sempit’ pada hari ini kerana mod penghindaran risiko berkemungkinan mengekalkan sokongan kepada dolar AS.
Kata beliau, terdapat kemungkinan penutupan kerajaan AS kerana Kongres perlu membuat keputusan minggu ini berhubung percanggahan pendapat mengenai rang undang-undang perbelanjaan.
“Namun, PMI kilat untuk September menunjukkan terdapat sedikit peningkatan dalam sentimen perniagaan. Ia adalah isyarat bercampur-campur tetapi ketidaktentuan ekonomi yang memuncak akan memastikan peserta pasaran berjaga-jaga. Jangkakan dolar AS/ringgit dalam julat antara RM4.67 dan RM4.68 hari ini,” katanya.
Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding euro pada 4.9869/9906 daripada penutup Jumaat lalu 4.9860/9918, tetapi lebih baik berbanding pound Britain pada 5.7342/7385 daripada 5.7372/7439. Ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1560/1585 daripada 3.1560/1585.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.
Ia lemah berbanding baht Thailand kepada 12.0345/0493 daripada 13.0119/0322 dan sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia pada 304.5/304.9 daripada 304.7/305.3 sebelumnya.
Ringgit naik sedikit berbanding peso Filipina pada 8.24/8.25 daripada 8.25/8.26 dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.4296/4325 daripada 3.4313/4359. – UTUSAN










