PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada sesi dagangan pagi ini berikutan permintaan sederhana untuk mata wang domestik itu.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6855/6905 berbanding dolar AS daripada penutup semalam, pada 4.6890/6940.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan itu berada dalam kedudukan terlebih jual dari sudut teknikal, sekali gus membuka lebih banyak peluang dagangan.
“Bagaimanapun, ia masih harus dilihat sama ada trend sebegitu boleh dikekalkan memandangkan sikap `hawkish’ Rizab Persekutuan (Fed) AS,” katanya.
Selain itu kata beliau, data indeks harga pengguna Malaysia dijangka dikeluarkan pada hari ini, dengan konsensus mengunjurkan bahawa kadar inflasi boleh dikekalkan pada 2 peratus pada Ogos selepas menurun kepada 2 peratus bulan sebelumnya.
“Sekiranya ia menjadi kenyataan, ia akan memperkukuh status quo dalam kadar dasar semalaman pada mesyuarat akhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun pada November,” katanya.
Ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro pada 4.9924/9977 daripada 4.9947/5.000 pada penutup semalam, dan lebih baik berbanding pound Britain pada 5.7543/7604 daripada 5.7632/7694. Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.1736/1772 daripada 3.1650/1686.
Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang ASEAN lain.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9473/9686 daripada 12.9695/9880, dan menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 304.6/305.2 daripada 304.9/305.4.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina pada 8.24/8.26 daripada 8.25/8.26 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.4271/4310. – UTUSAN










