Public Bank terbitkan sub-nota bernilai RM20 bilion

Public Bank terbitkan sub-nota bernilai RM20 bilion

public bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Public Bank Bhd. (PBB) telah mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menerbitkan program nota jangka sederhana (sub-nota) subordinat dalam nilai nominal sehingga RM20 bilion.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, bank ketiga terbesar dalam negara ini dari segi jumlah aset berkata, program itu akan mempunyai tempoh 30 tahun dari tarikh terbitan pertama sub-nota.

Program sub-nota akan memberi PBB kelonggaran untuk mengeluarkan sub-nota dari semasa ke semasa, jelasnya.

Bank itu, melalui anak syarikatnya Public Investment Bank Bhd. (PIVB), telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), maklumat yang diperlukan dan dokumen berkaitan untuk menubuhkan program berkenaan.

Sub-nota tersebut akan layak sebagai modal Tahap 2 untuk pengiraan modal pengawalseliaan PBB dan Kumpulan PBB, selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) yang dikeluarkan oleh BNM.

RAM Rating Services Bhd. telah memberikan penarafan jangka panjang AA1 kepada program sub-nota berkenaan.

PIVB telah dilantik sebagai Penasihat Utama/Penyusun Utama/Pengurus Utama untuk pengaturan tersebut.

Saham PBB ditutup tidak berubah pada RM4.24 hari ini, dengan nilai bank itu pada RM81.91 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN