PETALING JAYA: Pinjaman sistem perbankan meningkat sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pinjaman isi rumah sebanyak 5.4 peratus.
Menurut Kenanga Research, pinjaman isi rumah paling banyak dalam hartanah kediaman meningkat 6.9 peratus berikutan bakal pemilik rumah memilih untuk membeli perumahan mampu milik dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi.
Sementara itu, katanya, pinjaman perniagaan turut meningkat 2.4 peratus, didorong pemulihan dalam industri perkhidmatan.
“Pada asas bulan ke bulan, pinjaman isi rumah masih meningkat sebanyak 0.2 peratus tetapi kami melihat penyusutan berterusan dalam pinjaman perniagaan (-0.3 peratus) mungkin disebabkan perniagaan tidak memperbaharui pembiayaan modal kerja.
“Permohonan juga berkurang sebanyak enam peratus tahun ke tahun seperti yang dijangkakan, dengan pinjaman perniagaan menjadi penyumbang utama kerana persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi mungkin melemahkan selera pengguna untuk melakukan lebih banyak pinjaman,” katanya dalam satu nota kajian.
Menurut firma penyelidikan, pinjaman isi rumah juga masih bertambah dengan peningkatan ketara dalam pinjaman peribadi dan sewa beli.
Ujarnya, pinjaman terjejas kasar Julai 2023 pula dilaporkan pada 1.76 peratus.
“Ia menunjukkan bahawa akaun ‘bermasalah’ sebelum ini yang tidak membuat pembayaran semasa musim perayaan telah komited semula dengan obligasi pembayaran balik mereka.
“Perlindungan kerugian pinjaman industri juga kelihatan mendatar pada 91.5 peratus daripada 91.8 peratus pada Jun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, nisbah CET-1 untuk industri meningkat pada 15 peratus berbanding 14.8 peratus pada Jun 2023 apabila pemain industri menambah nilai modal selepas pengisytiharan dividen.
Kenanga Research berkata, deposit sistem mencapai pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun, dalam sasaran pertumbuhan deposit tahun kalendar 2023 sebanyak 5.0 peratus hingga 5.5 peratus.
“Akaun semasa/akaun simpanan (CASA) kekal stabil pada 28 peratus dariapda 28.2 peratus pada Jun lalu kerana bank-bank kembali menggunakan produk simpanan tetap yang menarik untuk memastikan kos pembiayaan terurus.
“Sehingga terdapat satu lagi kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR), kami menjangka tahap ini kekal stabil.
“Justeru, kami mengekalkan saranan Overweight pada sektor perbankan. Persepsi yang lebih lemah boleh didorong prestasi mata wang tempatan yang tidak menggalakkan serta bilangan pengeluaran yang secara amnya kurang menarik.
“Namun, kami terus mempunyai keyakinan dalam ruang perbankan untuk pendapatannya yang berdaya tahan dan dengan purata hasil dividen sebanyak 6.0 peratus yang memberikan hasil perlindungan menarik untuk pelabur jangka panjang,” katanya. – UTUSAN