JOHOR BAHRU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM2,000 kepada anggota polis supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya yang memiliki dadah pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, R. Jeevananthan, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan RM2,000 kepada anggota polis berpangkat sarjan yang merupakan Penyelia Cawangan Unit Rondaan dan Bermotosikal, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas pekerja wanitanya yang berusia 24 tahun di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah pada pukul 12.50 tengah malam di Kilometer 14, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, 8 November 2024.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu perempat daripada maksimum hukuman penjara bagi kesalahan asal atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 18 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN










