Pindaan akta perangkaan di peringkat akhir

Pindaan akta perangkaan di peringkat akhir

HANIFAH Hajar Taib (kanan) diiringi Mohd. Uzir Mahidin ((tiga, kanan) melawat pameran kajian penyelidikan sempena Persidangan Statistik Malaysia 2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) di peringkat akhir pindaan dan dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Julai 2024, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Mohd. Uzir berkata, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) dikategorikan sebagai akta perangkaan yang sudah lama dan memerlukan pindaan untuk memperkasa peranan dan fungsi Jabatan Perangkaan (DOSM).

“Sebelum ini kita telah menyemak dan berbincang dengan pelbagai negara termasuk di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meneliti bahawa semua negara perlu memperkukuhkan tadbir urus negara masing-ma­sing.

“Kita mendapati, peranan Jabatan Perangkaan (DOSM) perlu diperkukuhkan antaranya sebagai penyelaras nasional dalam pengumpulan statistik, namun apa yang berlaku sekarang adalah agensi boleh bergerak sendiri tanpa merujuk jabatan perangkaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) Ke-10 yang dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib di Sasana Kijang di sini, semalam.

Menurut Mohd. Uzir, pindaan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) membenarkan penglibatan DOSM dalam pengumpulan statistik dengan lebih telus dan terangkum berbanding akta sebelum ini.

“Bila adanya akta ini kita boleh memastikan urus tadbir statistik yang dilaksanakan agensi dan kementerian itu mengikut piawaian amalan terbaik yang ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September 2020 telah bersetuju dengan cadangan DOSM untuk mengukuhkan sistem statistik negara dikenali sebagai Pelan Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN).

Antara agenda penting PSSN adalah Pindaan Akta Perangkaan 1965 (disemak 1989) antara lain untuk memperkasa peranan dan fungsi DOSM.

Sementara itu, Mohd. Uzir dalam ucapannya berkata, Persidangan MyStats 2023 bertujuan menyediakan platform untuk ahli statistik, penyelidik, ahli ekonomi, pembuat dasar, ahli akademik dan media mengetengah dan mengembangkan idea-idea baharu serta pemahaman bersama dalam bidang statistik.

Jelas beliau, bertemakan ‘Merentasi Sempadan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK): Ke Arah Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’ Persidangan MyStats ke-10 sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN