Perkenal cukai baharu tambah hasil negara – Penganalisis

Perkenal cukai baharu tambah hasil negara – Penganalisis ekonomi

KUTIPAN cukai yang efisien dan telus mampu membantu meningkatkan pendapatan negara dan pertumbuhan ekonomi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2024 harus diselaraskan de­ngan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan sebarang inisiatif tahun ini yang memberi impak besar perlu diteruskan pada tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sebagai contoh, usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar perlu diteruskan ke tahun hadapan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meneruskan usaha dalam menambahkan hasil negara, mungkin melalui cukai baharu seperti cukai atas keuntungan modal dan bukannya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Pada masa yang sama, defisit Belanjawan 2024 harus berterusan turun namun tidak melupakan usaha untuk menangani kos sara hidup, meningkatkan gaji melalui gaji progresif dan juga peluang pekerjaan melalui kemasukan lebih banyak lagi pelaburan asing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Belanjawan 2024 dijadual dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperkenalkan 17 langkah besar dan berani yang bertujuan merangsang pembangunan ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun.

Kerajaan meningkatkan si­ling perbelanjaan RM15 bilion untuk Kajian Separuh Penggal RMK-12 menjadikan jumlah peruntukannya kepada RM415 bilion untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan mengagihkan semula subsidi untuk menampung keperluan asas.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, inisiatif baharu itu mampu menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi melalui tiga fokus utama, iaitu memperkukuh kemampanan, membangunkan kemakmuran dan mencapai pendapatan tinggi.

“MEF yakin 17 inisiatif baharu akan menjadi pemangkin untuk memastikan Malaysia akan dapat meningkatkan status ekonominya ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani yang diumumkan sebelum ini.

“Kerajaan perlu tegas membasmi kemiskinan dengan me­laksanakan pembaharuan struktur ekonomi kepada bidang seperti industri peralihan tenaga, industri digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, keselamatan masakan dan industri nadir bumi.

“Selain itu, kerajaan perlu menambah baik infrastruktur asas untuk rakyat yang merangkumi kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan sempadan,” ujarnya.

Tambah beliau, MEF turut menyokong usaha kerajaan mengambil pendekatan radikal untuk menyelesaikan isu-isu utama struktur ekonomi Malaysia.

“Peralihan dasar mengambil kira pandangan industri dan semua pihak berkepentingan, serta kapasiti kewangan negara, ketersediaan kemahiran dan penerimaan rakyat.

“Apa yang penting ialah Ahli Parlimen terus menambah baik dan mewujudkan persekitaran mesra perniagaan yang lebih baik untuk pelabur tempatan dan pelaburan langsung asing (FDI),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×