PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga hujung tahun ini, bagi menyokong pemulihan ekonomi.
Selain itu, penganalisis ekonomi berpandangan, pengekalan OPR akan memastikan dasar kewangan negara kekal akomodatif, selain mengelak aliran keluar modal dalam pasaran tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, pemulihan ekonomi mungkin terganggu jika OPR dinaikkan lagi dan jika diturunkan pula, mungkin mendorong kepada aliran keluar modal di pasaran saham.
“Apabila aliran modal keluar, ini pasti akan memberi kesan kepada ringgit yang akan akan menjadi lebih lemah. Walaupun ada rungutan supaya OPR diturunkan, tetapi masalah ini harus dilihat pada objektif yang lebih besar,” katanya semalam.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dijadual bermesyuarat Khamis ini bagi menentukan kadar semasa OPR.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut menjangka OPR kekal pada kadar sama.
“Kadar OPR mungkin dikekalkan bagi memastikan pasaran modal di Malaysia terutamanya bon dan sukuk kekal kompetitif, walaupun inflasi di Malaysia semakin menurun selama sembilan bulan berturut-turut,” ujarnya.
Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan pula berpandangan, pengekalan kadar OPR boleh memberi keyakinan kepada pelabur selain membantu perancangan ekonomi pelbagai pihak.
“Keadaan semasa ekonomi negara memperlihatkan perubahan positif seperti rizab antarabangsa yang meningkat selepas menunjukkan penurunan sebelum ini serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh.
“Oleh itu, saya berharap BNM mengekalkan OPR sehingga hujung tahun ini ekoran ia dilihat mampu memberi keyakinan kepada pelabur selain turut membantu perancangan ekonomi yang lebih baik di setiap peringkat pemain ekonomi,” katanya.
Shazida tidak melihat sebarang keperluan untuk BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.25 peratus disebabkan kadar inflasi negara yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun kepada 2.0 peratus pada Julai lalu.
“Cuma saya berpandangan inflasi mungkin akan terus dipengaruhi oleh perubahan cuaca ke atas harga makanan dan komoditi serta keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu.
“Selain itu, suasana politik semasa juga dilihat akan memberi kesan kepada inflasi negara selain risiko ekonomi yang masih wujud ekoran perkembangan luar yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, situasi ekonomi yang tidak menentu memerlukan dasar monetari yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Jangkaan saya OPR akan dikekalkan memandangkan terdapat tanda-tanda ekonomi Malaysia menunjukkan kesan memperlahan seperti yang ditunjukkan KDNK suku kedua pada paras 2.9 peratus.
“Selain itu, kadar inflasi yang semakin merosot ke paras dua peratus pada Julai lalu juga dijangka bakal membantu OPR dikekalkan,” katanya.
Mei lalu, mesyuarat MPC BNM membuat kejutan apabila menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada kadar 2.75 peratus pada Januari dan Mac tahun ini.
Bank pusat sebelum ini mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November 2022 daripada paras terendah 1.75 peratus. – UTUSAN










