PETALING JAYA: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan menganjurkan Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 pada 30 hingga 31 Oktober ini.
Persidangan dan pemeran itu yang akan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, bakal menghimpunkan lebih 30 pakar-pakar antarabangsa dan tempatan, untuk mengatasi cabaran modal insan dalam era moden.
Selain itu, NHCCE akan turut menghimpunkan lebih 400 pempamer terkemuka yang bakal menyajikan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi dan perkembangan individu.
Menurut HRD Corp, antara pakar antarabangsa terbabit ialah Dave Ulrich, yang sering dianggap sebagai bapa HR moden dan profesor perniagaan di Ross School of Business, Universiti Michigan; Frank Furness serta Pengasas dan bekas Presiden Northwest London Speakers Club; Dr. Donald H. Taylor.
Katanya, NHCCE 2023 merupakan lanjutan daripada kejayaan NHCCE 2022 yang telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada peserta-peserta dari rantau Asia Tenggara.
“Dengan tema ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’ atau ‘Pioneering Growth, Inspiring Change‘, NHCCE bertujuan membantu organisasi dan pengamal sumber manusia (HR) agar dapat terus berada di hadapan cabaran di tempat kerja moden yang sentiasa berubah-ubah.
“Dalam situasi tempat kerja yang dipengaruhi oleh pelbagai gangguan, kini adalah masa yang tepat untuk mencipta peluang pertumbuhan baru dan menginspirasi perubahan, menjadikan masa depan organisasi serta pekerja lebih mampan dan kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, dasar pembangunan modal insan yang dinamik adalah salah satu pendorong terpenting bagi aspirasi negara dalam mencapai ekonomi yang berkembang.
Beliau berkata, penganjuran NHCCE 2023 adalah tepat pada masanya kerana ia berfungsi sebagai platform untuk pihak-pihak berkepentingan dari pelbagai industri berkumpul, berkongsi pandangan sekali gus merangka hala tuju ke arah ekosistem tenaga kerja yang lebih kukuh dan dinamik.
“Kerajaan memahami kepentingan membina hubungan kerjasama dengan semua pihak kerana ia dapat membantu kita merumuskan inisiatif yang lebih baik untuk keperluan Masyarakat,” katanya pada majlis pengumuman penganjuran NHCCE 2023 semalam.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahrul Dawood pula berharap, NHCCE akan mengilhamkan bakat-bakat dana pemain industri di rantau ini untuk memacu usaha transformasi modal insan yang memberi impak dalam organisasi masing-masing.
Beliau yakin, NHCCE akan membina asas yang kukuh dan terus menjadi tempat `kelahiran’ penyelesaian inovatif untuk mengatasi cabaran pembangunan modal insan moden. – UTUSAN










