PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas.
MOSTI percaya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas (space launching facility).
Menurut MOSTI, keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif.
Setakat itu katanya, MYSA sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk membangunkan kemudahan tersebut.
“Jika menjadi realiti, kemudahan yang dibangunkan akan menjadi yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan Malaysia menjadi negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut,” katanya dalam kenyataan.
MOSTI berkata, penglibatan kerajaan dalam industri itu dianggarkan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030, di samping pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi berkaitan angkasa, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, MOSTI juga sedang merangka Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) menerusi strategi perkongsian awam dan swasta (Public Private Partnership) yang dijangka bermula pada 2026.
“Program ini adalah penting bagi memastikan kesinambungan pemilikan data-data strategik negara yang mana ia turut menyokong keberkesanan operasi 50 buah pakej sistem aplikasi yang telah dibangunkan oleh MYSA,” jelasnya. – UTUSAN










