PETALING JAYA: MKM Ticketing Travel & Tours (MKM), syarikat pengendali umrah yang beroperasi selama lebih 10 tahun di negara ini, menyasarkan untuk meningkatkan lagi penguasaan pasarannya di bahagian utara negara ini.
Penyertaan MKM dalam MATTA Fair Penang yang diadakan di Spice Arena selama dua hari mulai 30 September ini, merupakan sebahagian daripada langkah terbaharu yang diambil oleh pihak pengurusan syarikat tersebut.
Pengarah MKM, Abdul Hadi Abdul Rahman berkata, sebahagian besar pelanggan mereka sebelum ini meliputi sebelah utara Semenanjung seperti di Kedah dan Perak selain di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
“Selain menawarkan diskaun RM600 seorang, pihak Syarikat juga terus membuka peluang penempahan pakej umrah dengan bayaran hanya RM50 sepanjang pameran tersebut sebagai menghargai sokongan masyarakat Islam di utara tanah air,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Hadi berharap sambutan yang diberikan terhadap MKM menyamai seperti mana yang diraih dalam MATTA Fair Kuala Lumpur di sebalik persaingan daripada syarikat-syarikat pengendali umrah yang lain.
Beliau percaya MKM mampu bersaing dalam pasaran kerana kelebihan yang dimiliki seperti kepercayaan ramai bahawa pihak syarikat mampu menawarkan perkhidmatan terbaik selain pakej-pakej yang menarik seperti Pakej Umrah Menara.
“Pakej-pakej ditawarkan pada harga berpatutan dengan mengambil kira bebanan kewangan bakal jemaah berikutan berlaku peningkatan kos kehidupan harian supaya mereka boleh beribadah dengan tenang dan selesa,” tambah beliau.
Sehingga kini, MKM telah menerbangkan hampir 50,000 orang jemaah umrah ke Tanah Suci sekali gus membuktikan diri sebagai syarikat yang kukuh dan mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti dan terbaik. – UTUSAN