MITI optimis capai RM63.1 bilion eksport halal menjelang 2025

MITI optimis capai RM63.1 bilion eksport halal menjelang 2025

PESERTA Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2023 menyertai sesi padanan perdagangan bersama rakan niaga antarabangsa dan tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), optimis Malaysia mampu menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa de­ngan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian eksport halal negara pada 2022 sebanyak RM59.46 bilion menunjukkan peningkatan yang membanggakan seba­nyak 64 peratus berbanding 2021.

Menurut beliau, saiz pasaran halal juga dijangka berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030 dan selari dengan Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030) kerajaan menyasarkan nilai eks­port halal lebih tinggi.

“Insya-Allah dengan pencapaian setakat 2022 di mana jumlahnya mencecah RM60 bilion, kita optimistik sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada KSP RMK12 akan dapat dicapai.

“Selain itu, Perdana Menteri juga mencabar kami supaya jangan hanya mencuba untuk mencapai sasaran, kalau boleh melebihi daripada RM63 bilion yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) 2023 bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

GHAS 2023 dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, industri halal sudah lama dikenal pasti sebagai sektor strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ujar beliau, konsep halal te­l­ah berkembang secara universal dan boleh diaplikasi kepada semua lapisan masyarakat serta merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan.

“Pada 2022, eksport halal Malaysia hampir mencecah RM60 bilion, peningkatan yang membanggakan iaitu 64 peratus berbanding 2021 di mana kategori produk makanan dan minuman (F&B) adalah penyumbang terbesar eksport halal dengan pe­ningkatan hampir 58 peratus.

“Ia diikuti produk bahan-bahan halal (halal ingredients), kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata, biarpun berhadapan cabaran ekonomi glo­bal, pertumbuhan eksport halal jelas mencerminkan daya tahan industri bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Menurut kajian oleh United Nations Industrial Development Organisation (UNIDO), pasca-pandemik, satu dapatan me­nunjukkan bahawa penempatan semula bagi hab pembuatan yang semakin beralih ke rantau Asia merupakan tren jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN