MIHAS 2023 rekod  RM3.11 bilion nilai jualan

MIHAS 2023 rekod  RM3.11 bilion nilai jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023)  merekodkan nilai jualan berjumlah RM3.11 bilion, melebihi 24 peratus sasaran ditetapkan sebanyak RM2.5 bilion.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang merupakan penganjur MIHAS 2023 dalam satu kenyataan berkata, jumlah jualan yang direkodkan itu disumbang oleh perjanjian perniagaan yang dimuktamadkan daripada dua program utama MIHAS 2023.

Menurutnya, dua program utama dalam pameran halal terbesar yang dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu adalah International Sourcing Programme (INSP) pada 11 September 2023 untuk pengeksport Malaysia, dan pameran perdagangan utama melibatkan peserta pameran dari 44 buah negara berlangsung pada 12 hingga 15 September 2023.

“Tumpuan MIHAS 2023 pada elemen kelestarian dan pendigitalan telah meningkatkan lagi nilainya kepada komuniti halal global, dengan memudah, mempercepat dan mengarusperdanakan ekosistem halal ke dalam rantaian bekalan global.

“Pengiraan awal menunjukkan bahawa program perdana MATRADE, INSP mencapai jualan bernilai RM1.22 bilion, manakala pempamer memperoleh jumlah jualan RM1.89 bilion dan angka jualan awal tersebut berpotensi meningkat berikutan pemadanan perniagaan INSP maya berlangsung sehingga 30 November 2023,” katanya.

Jelas MATRADE lagi, pameran itu juga meliputi 13 segmen halal dan pemadanan perniagaan melibatkan syarikat dalam semua sektor bagi menghasilkan akses pasaran terbuka untuk syarikat Malaysia di beberapa rangkaian pasar raya terbesar di dunia termasuk Walmart, Aldi, Asda, Marks & Spencer, Guardian, Sainsbury, dan Woolworth .

“Ia turut menyediakan akses kepada syarikat tempatan ke pasaran global di mana pada masa ini mempunyai kehadiran kukuh seperti Romania, Poland dan Maghribi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri sebanyak RM266 bilion, atau 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat tersebut MITI akan terus membina momentum yang dihasilkan oleh MIHAS 2023, terutamanya dalam memudahkan akses pasaran untuk pemain industri halal kepada rantaian bekalan utama di seluruh dunia.

Jelas beliau lagi, pencapaian jualan RM3.11 bilion yang membanggakan dan melepasi sasaran ditetapkan sebanyak 24 peratus membuktikan MIHAS masih menjadi platform halal global yang terulung.

“Paling penting, selaras dengan agenda keselamatan ekonomi dan keterangkuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, platform seperti MIHAS juga menyumbang dengan ketara kepada objektif kerajaan untuk mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal di Asia.

“Kami komited untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan memastikan industri halal terus berkembang maju dengan cara yang bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, hasil kepimpinan yang ditunjukkan oleh Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, serta usaha tanpa jemu dan tanpa henti oleh semua kakitangan di MATRADE termasuk mereka yang bertugas di 46 pejabat MATRADE di luar negara berjaya mencapai hasil membanggakan itu.

Reezal Merican dalam kenyataan sama turut menegaskan bahawa MIHAS 2023 memberi penekanan yang sewajarnya kepada kerjasama dalam semua aspek dan sebagai contoh, lebih 30 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditukar antara pertubuhan Malaysia dan asing sepanjang MIHAS.

Ujar beliau, MATRADE juga melaksanakan lebih banyak usaha untuk melibatkan organisasi kerajaan yang lain dengan lebih  34 agensi Persekutuan dan negeri terlibat dalam MIHAS tahun ini.

“Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam kejayaan MIHAS 2023 dan tidak hairanlah lebih 800 peserta pameran telah menyatakan minat mereka untuk menyertai MIHAS 2024 yang dijadualkan pada 17 hingga 20 September 2024.

“Ini sekaligus membuktikan peranan utama MIHAS dalam memaju dan meningkatkan industri halal global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN