PETALING JAYA: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) dan Kapital DX Sdn. Bhd. (KLDX) menandatangani perjanjian pelaburan untuk jumlah yang tidak didedahkan sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan dana KLDX.
Menurut MDV, pelaburan itu adalah signifikan kerana ia merupakan penglibatan pertama MDV dalam pasaran Tawaran Awal Bursa (IEO) selaras dengan mandat untuk menyokong sektor teknologi melalui penawaran pembiayaan inovatif.
Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu MDV dalam mempelbagaikan saluran pembiayaan dan meningkatkan penglibatan digital melalui platform pembiayaan alternatif.
Berucap di majlis itu, Pengerusi MDV, Wong Chen berkata, perjanjian dengan KLDX merupakan langkah penting dalam usaha berterusan MDV untuk menjulang inovasi dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia, terutamanya dalam ekosistem pembiayaan fintech.
Beliau berkata, MDV juga berhasrat untuk memanfaatkan platform ini dalam meyokong keperluan pembiayaan projek teknologi yang berkaitan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terutamanya dalam bidang Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga.
“Platform IEO, yang diperkukuhkan dengan teknologi blockchain, menjadi paradigma baharu dalam pengumpulan dana.
“Ini kerana ia menawarkan variasi pengumpulan dana yang lebih cekap, kos efektif, dan fleksibel bagi syarikat teknologi yang ingin mengembangkan perniagaan dan operasi mereka.
“Ia juga boleh menyumbang kepada pengurangan kebergantungan kepada institusi kewangan tradisional dan geran kerajaan, seterusnya mewujudkan ekosistem teknologi yang lebih berdikari dan berdaya tahan,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi KLDX, Tan Sri Nik Norzrul Thani; Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Selvarany Rasiah.
Tambah WOng Chen, platform itu juga akan memudahkan usaha pengumpulan dana Modal Teroka dan Hutang Teroka yang mampu menyokong pembangunan dan pertumbuhan syarikat pemula teknologi di Malaysia dan negara serantau.
“Ia penting bagi mencapai hasrat negara untuk menjadi hab inovasi teknologi global dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor digital,” katanya.
Sebagai platform IEO yang pertama dilancarkan di Malaysia, KLDX memperkenalkan pendekatan baharu kepada pemilikan aset iaitu melalui token digital.
Inovasi itu membuka pelbagai peluang baru bagi pengumpulan dana dan pelaburan dengan membolehkan token digital untuk mewakili pelbagai kelas aset dan menyediakan alternatif kepada pasaran tradisional.
Platform itu berhasrat untuk menyediakan akses kepada pasaran swasta yang lebih meluas untuk para pelabur yang bertumpu kepada pelaburan dengan nilai pertumbuhan tinggi dan pelbagai, yang biasanya terhad kepada pelabur institusi atau pelabur bernilai tinggi.
Platform itu juga membantu syarikat untuk merealisasikan potensi pertumbuhan mereka melalui sumber pengumpulan dana yang selamat dan cekap dengan jumlah pengumpulan dana yang lebih tinggi berbanding platform seperti ECF
dan P2P iaitu sehingga RM100 juta setahun. – UTUSAN










