Malaysia terima RM37.4 bilion komitmen pelaburan

Malaysia terima RM37.4 bilion komitmen pelaburan

FAHMI Fadzil (dua kiri) menerima plak replika bagi penajaan daripada Pengarah Urusan Innoveam, Zamir Rashid pada majlis pelancaran Malaysia Digital Expo 2023 (MDX2023) di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam. Turut hadir, Teo Nie Ching (dua kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa (kiri) dan Ts. Mahadhir Aziz. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia telah memperoleh lebih RM37.4 bilion komitmen pelaburan merentasi pelbagai sektor teknologi digital sehingga Ogos 2023, demikian menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, dianggarkan sekitar 15,895 peluang pekerjaan bernilai tinggi turut berjaya diwujudkan bagi tempoh lapan bulan tahun ini.

Jelas beliau, pencapaian luar biasa itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja utuh Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara dalam memacu ekonomi digital.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China.

“Kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya pada pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Malaysia mempunyai reputasi yang kukuh sebagai destinasi bagi pelabur teknologi, digabungkan dengan lokasi strategik sebagai pintu masuk ke ASEAN,

Ujar beliau, ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang sempurna bagi perniagaan yang ingin berkembang maju di rantau dinamik ini selain berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk mengukuhkan ekosistem digital sama ada dari segi rangka kerja kawal selia, pembangunan bakat dan persekitaran keseluruhan buat pelabur.

“ASEAN merupakan sebuah pasaran besar dengan lebih 650 juta penduduk dan mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih daripada AS$1.5 trilion serta dijangka berkembang lebih pantas.

“Jadi saya menyeru semua pelabur dan syarikat yang berada berhampiran dengan Malaysia menjadikan negara kami sebagai batu loncatan dan pintu masuk ke ASEAN khususnya dalam bidang ekonomi digital,” katanya.

Tambah beliau, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan kerajaan pada 1 September lalu juga bakal menggiatkan semula sektor pembuatan negara dan meningkatkan pemulihan nilai tambahnya kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata, pelan tujuh tahun itu dijangka bakal menyediakan pekerjaan kepada 3.3 juta orang melalui penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran serta memajukan Malaysia ke arah aktiviti rantaian nilai lebih tinggi, terutamanya dalam sektor automasi dan teknologi.

” Sejajar dengan matlamat nasional ini KKD dan MDEC melalui inisiatif ‘Tech Up for Digitally Vibrant Nation”, dengan kemajuan dan transformasi digital dan teknologi akan memacu kitaran pertumbuhan seterusnya, meningkatkan produktiviti dan peluang untuk perniagaan dan Rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai MDX 2023, Fahmi berkata, buat pertama kalinya MDX 2023 bakal menampilkan 13 acara sampingan yang berlangsung di Lembah Klang, Johor, Melaka dan Sarawak dalam tempoh enam minggu.

Jelas beliau, dengan sasaran antara 400,000 hingga 500,000 pengunjung ekspo berkenaan merupakan platform yang dikonsepkan oleh MDEC dengan kerjasama rakan kongsinya untuk mempamerkan ekosistem teknologi dan ekonomi digital yang terbaik di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×