Malaysia struktur semula ekonomi, tarik pelabur global - PM - Utusan Malaysia

Malaysia struktur semula ekonomi, tarik pelabur global – PM

ANWAR Ibrahim diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memilih untuk berjalan kaki ke perbincangan meja bulat dengan syarikat Fortune 500 di Harvard Club, New York pada Khamis. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan melakukan penstrukturan semula ekonominya bagi menarik pelabur asing masuk semula ke Malaysia selepas hilang tarikan hampir sedekad lalu akibat pelbagai faktor dan cabaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia pernah menjadi negara ekonomi yang pantas berkembang tetapi kemudian merosot sehingga beberapa negara jiran berjaya memintasn dan meninggalkan Malaysia.

Beliau memberi jaminan kepada pelabur global yang berhasrat memasuki Malaysia bahawa negara ini sedang melaksanakan pembaharuan sewajarnya serta mewujudkan persekitaran perniagaan lebih baik untuk mereka.

“Keutamaan saya adalah tiga perkara…memperkukuh tadbir urus negara, menstruktur semula ekonomi dan membuka jalan bagi masa depan kita,” kata beliau dalam majlis Invest Malaysia New York anjuran Bursa Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Anwar berkata, bagi mencapai matlamat itu juga, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk membetulkan kesilapan-kesilapan lampau yang menyebabkan kemajuan serta pembangunan sosioekonomi Malaysia terjejas.

“Tanpa mengendahkan tahun-tahun pandemik Covid-19, dua dekad sebelum dan selepas 1998 menyaksikan penurunan ketara dalam purata pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Katanya, sejak beliau memegang jawatan Menteri Kewangan, angka pelaburan susut berbanding peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak beberapa tahun lalu manakala sumber ekonomi baharu yang mampu memacu pertumbuhan pula tidak ketara dengan ekonomi negara banyak tertumpu kepada aktiviti domestik tanpa memanfaatkan sepenuhnya peluang di pasaran global.

PENTADBIRAN

Sehubungan itu, Anwar menyifatkan, pentadbiran beliau sebagai tiada pilihan kecuali bertindak melakukan penstrukturan semula terhadap Malaysia.

Jelasnya, pelan penstrukturan boleh diikuti menerusi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, satu rangka kerja dihasilkan bagi menangani kekurangan struktur secara sistematik dalam dasar fiskal kerajaan dan pemacu hasil, ekosistem ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Hasilnya, kata beliau, sejak beberapa bulan lalu, Malaysia mula menyaksikan impak awal daripada komitmen kerajaan untuk menyampaikan perubahan kepada ekonomi dan rakyatnya.

Beliau merujuk kepada syarikat semikonduktor global berpangkalan di Jerman, Infineon Technologies yang telah bersetuju untuk membuat pelaburan tambahan €5 bilion (US$5.4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang membabitkan pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200mm terbesar dunia di Malaysia.

“Sudah pastinya, (kehadiran syarikat) Tesla. Biarpun terdapat usaha sengit oleh negara serantau lainnya, kita agak pantas dalam mendapatkan Tesla dan berserta dengan SpaceX,” kata beliau.

Katanya lagi, syarikat-syarikat seperti Tesla, Amazon dan Infineon adalah antara peneraju industri global yang baru-baru ini bertindak menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut serta meletakkan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

Beliau turut menekankan kepentingan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan Malaysia serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dalam memajukan ekonomi negara serta memanfaatkan bidang pertumbuhan baharu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN