PETALING JAYA: Bumi Armada Bhd. menandatangani perjanjian tidak terikat (non-binding) dengan PT Pertamina International Shipping dan PT Davenergy Mulia Perkasa (DMP), syarikat perdagangan gas asli Indonesia, untuk pembangunan dan pengkomersilan gas asli cecair (LNG) dari medan gas Madura.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Bumi Armada berkata, perjanjian itu akan menggariskan prinsip utama untuk membangun dan mengkomersialkan LNG dari medan gas Madura dan kawasan sekitarnya.
Pertamina International Shipping ialah sub pegangan perkapalan dan logistik marin Pertamina, iaitu syarikat tenaga milik kerajaan Indonesia.
“Perbincangan awal telah dimulakan dengan beberapa bakal pelanggan off-taker dan penghantaran pertama LNG dijangka berlaku tiga tahun selepas keputusan pelaburan muktamad dibuat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, Syarikat teruja untuk bekerjasama dengan Pertamina International Shipping dan DMP untuk membawa penyelesaian yang mampan dan berskala bagi mengurangkan pelepasan karbon di Indonesia.
Katanya, ia juga sejajar dengan agenda penyahkarbonan Bumi Armada yang dilancarkan baru-baru ini untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050.
“Kerjasama ini adalah bukti komitmen kuat kami ke arah menyediakan penyelesaian penyahkarbonan terbaik di peringkat global,” katanya.
Bumi Armada dan Pertamina International Shipping dijangka bekerjasama, menggunakan kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam pembangunan kemudahan pencairan dan penyimpanan gas asli terapung.
Kerjasama itu bertujuan untuk mereka bentuk, bidang kejuruteraan, membina, memasang, mentauliahkan, menyambung dan mengendalikan kemudahan itu, bersama-sama pembawa LNG.
Pihak berkenaan juga berhasrat untuk mengangkut LNG kepada pengguna yang terletak di kawasan yang kekurangan akses kepada sumber tenaga bersih. – UTUSAN










