PETALING JAYA: Lebih 10,000 peserta menyertai Coway Run 2023, anjuran Coway Malaysia bersempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Ahad lalu.
Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi berkata, 2023 merupakan tahun ketujuh larian itu diadakan, membabitkan tiga kategori iaitu lima, 10 dan 21 kilometer, antara lain bagi meningkatkan kualiti hidup orang ramai.
Beliau berkata, sempena ketibaan Hari Malaysia, matlamat utama Coway Malaysia adalah untuk mewujudkan platform yang membina hubungan, memupuk persefahaman dan meraikan kepelbagaian.
“Kami mengalu-alukan orang ramai dari semua lapisan masyarakat, tanpa mengira etnik, agama, umur atau latar belakang, untuk bersama-sama terlibat dalam aktiviti cergas dan menyeronokkan ini.
“Coway Run bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan fizikal badan, ia juga memberi peluang unik untuk setiap individu berkongsi pengalaman dan kisah mereka bagi memupuk perpaduan dan kebersamaan yang lebih kukuh dalam masyarakat kami melalui satu aktiviti sihat,” katanya dalam kenyataan.
Larian 5km mesra keluarga tahun ini menampilkan halangan seperti terowong kabus, terowong penggelek dan labirin tilam yang diilhamkan daripada produk terkini Coway – Penyaman Udara Coway, Kerusi Urut Coway dan siri tilam premium.
Produk-produk Coway bersaiz besar, Water Café, gerai permainan interaktif disediakan untuk memeriahkan suasana.
Ia juga diserikan dengan sesi temu dan sapa yang diatur khas dengan duta jenama Coway Malaysia – Mira Filzah dan selebriti – selebriti terkenal seperti Daniel Fong, Elizabeth Tan, Elyn Leong, Fattah Amin, Hun Haqeem, Jestina Kuan dan Soo Wincci.
Coway Run 2023 juga menyediakan ruang kepada peserta untuk memberikan impak positif kerana RM10 daripada hasil jualan setiap tiket akan didermakan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Coway.
“Coway sentiasa komited untuk mewujudkan sebuah dunia dimana manusia dan alam sekitar dapat hidup bersama secara harmoni. Usaha bersama ini telah berjaya mengumpulkan lebih dari RM100,000 dan dana tersebut akan digunakan dalam aktiviti-aktiviti CSR Coway termasuk Happy Water Project, sebuah program untuk membekalkan air minuman yang bersih kepada mereka yang memerlukan,” kata Choi. – UTUSAN










