KWAP lancar Dana Perintis RM500 juta

KWAP lancar Dana Perintis RM500 juta

RAFIZI Ramli disaksikan Hazman Hilmi Sallahuddin (kanan) melancarkan Dana Perintis oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Auditorium KWAP, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan Dana Perintis berjumlah RM500 juta untuk memberi sokongan kepada ekosistem modal teroka Malaysia.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, KWAP turut me­nyasarkan inisiatif pemerkasaan syarikat pemula untuk memacu inovasi dan menyokong daya tahan ekonomi.

Menurut Hazman, Dana Pe­rintis berdasarkan dua kate­go­ri strategik iaitu pelaburan ke dalam modal teroka yang memfokuskan Malaysia dan pelaburan terus dalam syarikat yang berada di tahap permulaan.

“KWAP menyedari potensi untuk berinovasi serta pertumbuhan dalam ekosistem peringkat awal di Malaysia dan kami berbangga memperkenalkan Dana Perintis, inisiatif yang menyokong komitmen untuk memacu pertumbuhan industri syarikat pemula di Malaysia.

“Dengan peruntukan seba­nyak RM250 juta untuk setiap kategori, inisiatif KWAP ini disa­sarkan untuk memacu pertumbuhan dalam landskap keusahawanan selari dengan komitmen kelestarian KWAP sebagai salah satu organisasi yang menyokong prinsip pelaburan bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dana Perintis oleh Menteri EKonomi, Rafizi Ramli di Auditorium KWAP, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hazman berkata, melalui Dana Perintis, KWAP bukan hanya menyalurkan modal kewangan, tetapi juga melabur kepakaran, sumber dan komitmen untuk melihat syarikat pemula Malaysia berjaya melangkah ke pentas dunia, terutama syarikat yang disokong secara terus.

Ujar beliau, sebagai satu daripada pelabur terkemuka di Malaysia, KWAP berhasrat memainkan peranan penting dalam memacu negara ke arah ekosistern peringkat awal yang memberangsangkan.

“Dengan melabur secara stra­tegik dan menangani jurang kri­tikal, KWAP menyasarkan untuk menggerakkan trajektori pertumbuhan landskap syarikat pemula, dan memperolehi pulangan risiko terselaras yang menarik kepada pihak berkepentingan.

“Sebahagian besar daripada dana sehingga RM250 juta akan disalurkan kepada pelaburan ke dalam dana modal teroka de­ngan pendedahan berfokuskan kepada Malaysia selari dengan wawasan KWAP untuk menyo­kong dan membangunkan ekosistem teroka yang mampu ber­diri sendiri.

“Selari dengan pelaburan dana, RM250 juta lagi akan didedikasikan kepada pelaburan terus ke dalam syarikat yang berpotensi di peringkat awal. Ini membuktikan komitmen KWAP dalam memupuk syarikat pemula melalui fasa pertumbuhan dan pengembangan,” katanya.

Beliau berkata, KWAP berde­dikasi untuk memperkasa syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menyokong tenaga kerja, dan memupuk inovasi.

Jelas beliau, bagi mencapai visi tersebut, KWAP telah mengenalpasti beberapa syarikat pemula berpotensi untuk dilabur, yang kini menggajikan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

Pelancaran Dana Perintis selari dengan inisiatif Ekonomi Madani dan mencerminkan fokus KWAP dalam memperkasa pertumbuhan PKS, memacu perkembangan ekonomi serta menyumbang kepada masa hadapan keusahawanan di Malaysia

Dalam fasa melaksanakan inisiatif itu, KWAP akan terus menggalas peranan dan komitmen kepada komuniti pesara yang merupakan pemegang taruh utama, untuk merangsang pertumbuhan dana pencen, dan membolehkan KWAP memenuhi amanahnya selari dengan slogan ‘Teman Persaraan Anda.’ – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×