KBBM: KPDN mohon peruntukan lebih tinggi

KBBM: KPDN mohon peruntukan lebih tinggi

ROHAIZI BAHARI (kiri) pada majlis pra-pelancaran KBBM 2023 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon peruntukan lebih tinggi untuk kempen Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi membolehkan lebih banyak promosi dan kerjasama strategik dapat dilaksanakan.

Pengarah Kanan Sektor Per­dagangan Pengedaran dan Per­niagaannya, Datuk Rohaizi Bahari berkata, peruntukan pada tahun ini adalah seba­nyak RM10 juta dan RM3 juta diberikan kepada rakan strategik untuk tujuan mempromosi dan memperkasakan produk-produk tempatan.

Katanya, pihaknya meneri­ma sehingga 30 permohonan daripada syarikat peruncitan untuk menyertai kempen ter­sebut dan hanya 16 syarikat pe­runcitan tempatan dan tiga platform atas talian yang terpilih untuk menjalinkan kerjasama terbabit.

“Kami memang berharap mendapat bajet yang lebih banyak untuk kempen ini supaya aktiviti promosi dapat diperluaskan lagi.

“Peruntukan kami agak terhad, jadi kami mengadakan kerjasama dengan 16 rakan strategik sahaja. Kami akan melihat maklumbalas dan akan membuat penambahbaikan atau memperluaskan lagi pada 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran KBBM 2023 di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan kempen tersebut akan mengetengahkan beberapa inisiatif strategik yang mana akan membantu melon­jakkan ekonomi domestik, meluaskan pasaran produk tempatan, di samping membantu penerimaan rakyat terhadap barangan Malaysia.

Menurutnya, antara inisiatif yang dirancang termasuklah Pemerkasaan Produk Tempatan Dalam Industri Peruncitan Tempatan dan Platform Dalam Talian, Karnival Barangan Malaysia, Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia, Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus dan Kolaborasi Strategik Media Animasi Digital.

“Selain itu, kementerian juga turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama syarikat Animonsta dan syarikat Warnakala bagi mempromosikan KBBM menerusi watak animasi Papa Pipi dan Didi & Friends.

“Bagi pelaksanaan Jualan Bertema Berdasarkan Segmen Khusus, kerjasama bersama Malaysia Bumiputera Designer Association (MBDA) dan juga Perbadanan Kraftangan Malaysia telah dijalinkan dalam mengangkat produk Malaysia menerusi segmen fesyen dan kraftangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN