Kaji semula cukai durian runtuh industri sawit

Kaji semula cukai `durian runtuh’ industri sawit

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji semula cukai `durian runtuh’ sedia ada ke atas industri sawit dan berharap dapat menyelesaikannya tahun depan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Penanam di Malaysia telah bertahun-tahun meminta kerajaan menilai semula kadar cukai dan ambang cukai keuntungan `durian runtuh’.

Kerajaan pada masa ini mengenakan levi `durian runtuh’ sebanyak 3.0 peratus ke atas harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak iaitu negeri pengeluar minyak sawit terbesar di negara ini, memetik laporan Reuters.

Fadillah, yang menjawab soalan di Parlimen mengenai cukai “membebankan” industri, tidak memberikan butiran semakan itu.

“Perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan memperkenalkan cukai durian runtuh ke atas minyak sawit pada 1 Julai 2008 bagi menggantikan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) yang dimulakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada peringkat awal pelaksanaannya, cukai itu dikenakan ke atas pengeluar MSM dan isirung sawit mentah (CPKO) pada paras nilai ambang RM2,000/tan bagi kedua-dua harga purata MSM dan CPKO itu.

Ketika itu, kadar ditetapkan sebanyak 15 peratus untuk Semenanjung Malaysia dan 7.5 peratus bagi Sabah dan Sarawak.

Sejak tarikh itu, kerajaan bertindak menyemak semula aspek pengiraan dan paras nilai ambang itu.

Bermula 15 Julai 2008, cukai itu dikenakan ke atas pengeluaran FFB yang menggantikan cukai terhadap MSM dan pengeluaran isirung sawit mentah itu.

Kadar baharu itu adalah tiga peratus bagi Semenanjung dan 1.5 peratus untuk Sabah dan Sarawak dengan harga nilai ambang MSM pada RM2,000/tan.

Pada 10 Mac, 2009, nilai ambang itu sekali lagi disemak semula dan pekebun kecil (kawasan seluas kurang 100 ekar atau 40.46 hektar) dikecualikan daripada membayar cukai berkenaan.

Paras nilai ambang RM2,500/tan bagi Semenanjung dan RM3,000/tan untuk Sabah serta Sarawak dan kadar tiga peratus untuk Semenanjung dan 1.5 peratus bagi Sabah dan Sarawak kekal tidak berubah setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN