Jumlah perdagangan negara pada Ogos susut 19.8 peratus

Jumlah perdagangan negara pada Ogos susut 19.8 peratus

MATRADE rangka strategi atasi cabaran geopolitik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan negara menyusut 19.8 peratus kepada RM213.01 bilion pada Ogos 2023 berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, menurut Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI).

Menurut MITI, eksport menyusut 18.6 peratus kepada RM115.16 bilion dan import menurun sebanyak 21.2 peratus kepada RM97.85 bilion.

“Prestasi itu seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Republik Korea, China, Taiwan dan Indonesia di mana masing-masing merekodkan pertumbuhan per­dagangan negatif pada Ogos 2023 serta penyusutan dalam import global.

“Namun, Malaysia menca­tatkan lebihan dagangan yang ke-40 bulan berturut-turut pada Ogos 2023, meningkat 0.1 peratus kepada RM17.31 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Berbanding Julai 2023, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-ma­sing menguncup seba­nyak 1.5 peratus, 1.4 peratus, 1.6 peratus dan 0.3 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, perdagangan me­ngurang sebanyak 8.1 peratus kepada RM1.718 trilion berban­ding tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport menguncup 7.6 peratus kepada RM935.22 bilion, import menyusut 8.6 peratus kepada RM782.29 bilion dan lebihan dagangan turun 2.0 pe­ratus kepada RM152.92 bi­lion.

Pada Ogos 2023, eksport barangan perkilangan yang me­rangkumi 85.4 peratus atau RM98.36 bilion daripada jumlah eksport menurun sebanyak 17.7 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektro­nik (E&E), keluaran petroleum serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, pertumbuhan eksport dicatatkan bagi bara­ngan kertas dan palpa serta barangan makanan diproses.

MITI berkata, eksport hasil galian menyusut 23.1 peratus tahun ke tahun kepada RM8.46 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Jelasnya, eksport keluaran pertanian menyusut 27.1 peratus kepada RM7.61 bilion berbanding Ogos 2022 disebabkan oleh eksport yang rendah bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit kesan daripada penurunan ke­tara harga eksport minyak sawit.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing mengembang sebanyak 15.3 peratus dan 0.7 peratus manakala eksport barangan perkilangan menurun 3.0 peratus,” ujarnya.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, eksport barangan perkilangan menguncup 5.9 peratus kepada RM800.62 bi­lion berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan pe­ngura­ngan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam dan keluaran getah.

Namun, eksport yang kukuh bagi barangan kertas dan palpa, barangan makanan diproses serta barangan E&E telah mengimbangi kesan penurunan ini.

Pada tempoh Januari hingga Ogos 2023, import menurun sebanyak 8.6 peratus kepada RM782.29 bilion berbanding tempoh sama tahun 2022.

“Import barangan pengantara menguncup 15.6 peratus kepada RM399.42 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas, barangan modal naik 1.2 peratus kepada RM78.17 bilion dan barangan penggunaan turun 1.3 peratus kepada RM67.02 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN