PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.
Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang menjadi Pengerusi Persidangan & Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA.
Menurut WTCKL, Irmohizam anak kelahiran Kampung Kuantan, Kuala Selangor, merupakan antara 18 calon yang bertanding untuk 12 kerusi terbuka Lembaga Pengarah WTCA. Rangkaian WTCA mempunyai lebih daripada 340 anggota daripada 90 buah negara di seluruh dunia.
Katanya, pemilihan Irmohizam mencerminkan sumbangan dan kepimpinan luar biasa beliau dalam industri Acara Perniagaan (BE) di peringkat global.
“Pengalaman dan kepakaran beliau yang luas menjadikannya seorang tokoh yang disegani dalam bidang tersebut. Selain itu, beliau turut berkhidmat dengan aktif sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi Persatuan Penganjur & Pembekal Konvensyen & Pameran Malaysia (MACEOS).
“Peranan beliau sebagai Pengerusi Persidangan & Pameran Majlis Anggota Penasihat (MAC) WTCA juga mengesahkan statusnya sebagai peneraju dan tokoh terkemuka dalam industri BE, dan mengukuhkan lagi kehadiran Malaysia di pentas global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Irmohizam berkata, beliau bangga dan berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam Lembaga Pengarah WTCA.
Katanya, ia merupakan pencapaian penting bukan sahaja untuk diri beliau tetapi juga Malaysia, dan mencerminkan kekuatan serta potensi negara dalam komuniti Acara Perniagaan global.
“Saya komited untuk bekerja tanpa jemu untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam industri ini dan menjadikan kita lebih kuat sebagai salah satu pemain industri. Kita mampu untuk bersama-sama mencipta perkara yang hebat untuk negara kita dan komuniti perniagaan antarabangsa” katanya.
Beliau telah dijemput untuk menyertai Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang lain pada bulan hadapan di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang pertama bagi sesi baru ini dan
menghadiri WTCA Member Forum 2023.
Antara Ahli Lembaga Pengarah WTCA yang baru dilantik termasuk En Vijay Kalantri (WTC Mumbai), Catherine Lee (WTC Suzhou), Christina Shen (WTC Shenyang), Vineet Verma (WTC Bengaluru) dan Freerk Faber (WTC Twente). – UTUSAN










