PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun -1.8 peratus pada Ogos 2023 berbanding -2.3 peratus pada bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan disumbangkan oleh sektor perlombongan yang turun sebanyak 3.8 peratus berbanding -10.8 peratus pada Julai, dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan -6.5 peratus pada Ogos 2023.
Ujarnya, pada masa sama, sektor pembuatan menurun sebanyak 2.3 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-13.4 peratus) dan pembuatan produk makanan (-7.6 peratus).
“Sektor bekalan elektrik dan gas juga mencatatkan penurunan 0.1 peratus daripada 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.
“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat sebanyak 2.9 peratus disokong indeks pengeluaran ternakan (6.0 peratus) dan penanaman tanaman kekal (2.0 peratus) selain sektor bekalan air juga meningkat 2.5 peratus pada Ogos,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus pada Ogos berbanding 0.2 peratus bulan sebelumnya.
“Sektor perlombongan meningkat 3.9 peratus disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.0 peratus) dan pengekstrakan gas asli (0.7 peratus).
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.9 peratus dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus dan sektor bekalan air juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus,” ujarnya.
Mohd. Uzir menjelaskan, deflasi IHPR beberapa negara semakin mengecil menunjukkan pemulihan ekonomi pasca pembukaan yang perlahan dan sederhana.
“IHPR Amerika Syarikat meningkat 1.6 peratus berbanding 0.8 peratus pada Julai 2023 sementara IHPR Jepun terus meningkat 3.2 peratus berbanding 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.
“Harga pengeluar China terus menurun 3.0 peratus berbanding penurunan 4.4 peratus pada bulan sebelumnya. Inflasi pengeluar India juga mencatatkan penguncupan yang lebih kecil 0.5 peratus terutama disebabkan harga minyak mineral, logam asas, tekstil dan produk makanan yang lebih rendah.
“Deflasi yang lebih kecil menunjukkan proses pemulihan yang perlahan dan sederhana,” ujarnya. – UTUSAN










