KUALA LUMPUR: Kebanyakan individu di negara ini menganggap harga rumah yang tinggi menjadi penghalang untuk memiliki kediaman sendiri, menurut Kajian Sentimen Pengguna (CCS) bagi separuh kedua 2023 yang dikeluarkan PropertyGuru Malaysia.
Pengurus Negara, Malaysia bagi PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Sheldon Fernandez berkata, kajian berkenaan turut mendedahkan halangan pembelian lain antaranya kenaikan kadar faedah (66 peratus) dan kebimbangan tentang kemelesetan ekonomi (43 peratus).
Menurut beliau, sebanyak 42 peratus responden turut memilih ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman rumah daripada bank dan 38 peratus responden pula memilih kesukaran pembayaran deposit, dan ketidakstabilan politik sebagai halangan memiliki rumah.
“Kenaikan harga hartanah ditambah dengan pendapatan yang tidak berubah dan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menyebabkan impian memiliki rumah lebih sukar untuk dicapai oleh ramai rakyat Malaysia.
“Walaupun peningkatan harga yang stabil mencerminkan pasaran hartanah yang sihat, jurang antara pendapatan dan harga rumah yang semakin meningkat akan menghalang sebahagian besar penduduk,” katanya pada sesi taklimat CCS bagi separuh kedua 2023 bersama media di sini, semalam.
Sheldon berkata, sama seperti laporan CSS sebelumnya, responden dalam tinjauan kali ini juga menunjukkan keperluan bantuan kerajaan dalam membantu mereka memiliki kediaman.
Jelasnya, apa yang diharapkan oleh responden adalah pertimbangan utama merangkumi pengawalan harga yang boleh membantu mengekalkan pasaran hartanah yang seimbang di mana harga sejajar dengan pertumbuhan pendapatan dan kos sara hidup.
“Kami mengharapkan beberapa berita baik daripada dasar gaji progresif yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024, Oktober depan kerana ia mungkin menjadi sokongan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk mendekatkan mereka kepada impian memiliki rumah,” katanya.
Mengulas mengenai tindak balas terhadap peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) dan kos pinjaman yang lebih tinggi, Sheldon berkata, sebanyak 35 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka mencari hartanah yang lebih murah.
Ujarnya, ia menunjukkan bahawa terdapat bakal pembeli rumah yang sedia untuk mengubah harapan dan mempertimbangkan pilihan mereka yang sejajar dengan kemampuan kewangan masing-masing.
Katanya, dengan bajet pengguna yang menyusut atau dikekalkan di tengah-tengah kenaikan kos, adalah lebih penting bagi pengguna untuk mengenal pasti keutamaan mereka apabila membeli rumah berbanding situasi sebelum ini.
“Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa responden bersetuju untuk berkompromi bagi kemudahan tertentu sebagai pertukaran untuk rumah yang lebih mampu milik bagi memenuhi impian menjadi pemilik rumah.
“Responden, terutamanya individu yang lebih tua dan penyewa, sanggup melepaskan kemudahan tertentu seperti gimnasium (49 peratus), taman permainan (46 peratus), trek jogging atau ruang rekreasi (45 peratus) dan balkoni (43 peratus) jika ia memberikan harga yang lebih rendah.
“Sebaliknya, tempat letak kereta, dapur yang berfungsi dan bilik mandi kedua lebih digemari oleh responden dan anjakan ini menunjukkan perubahan dalam keutamaan pengguna di mana kemudahan praktikal dan penjimatan kos diutamakan apabila memilih rumah,” katanya. – UTUSAN