Hampir 5 juta rakyat terima gaji, upah RM2,424 dan ke bawah

Hampir 5 juta rakyat Malaysia terima gaji, upah RM2,424 dan ke bawah

KERJA sebagai penghantar makanan antara pekerjaan dilakukan oleh rakyat Malaysia untuk menambah sumber kewangan mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 5 juta rakyat Malaysia yang bekerja sepenuh masa menerima gaji dan upah bulanan sebanyak RM2,424 dan ke bawah pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, pada tahun lalu, Malaysia merekodkan sebanyak 15.39 juta pekerja de­ngan 9.95 juta merupakan pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji dan upah.

Sebanyak 50 peratus daripada pekerja sepenuh masa itu (4.975 juta) menerima gaji dan upah sebanyak RM2,424 dan ke bawah, peningkatan 7.7 peratus daripada RM2,250 pada 2021.

Sementara itu katanya, purata gaji dan upah bulanan yang dite­rima oleh rakyat Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM3,212 daripada RM3,037 tahun sebelumnya.

Peningkatan gaji dan upah itu antara lain didorong oleh dasar gaji minimum RM1,500 untuk pekerja di semua sektor yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula Mei 2022.

MOHD. UZIR MAHIDIN

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, purata gaji dan upah bulanan pekerja mahir mening­kat 3.7 peratus pertambahan RM177 kepada RM5,025 daripada RM4,848 pada 2021.

“Dalam kalangan pekerja mahir, kategori Pengurus kekal sebagai penerima gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM6,385, naik sebanyak 1.4 peratus berbanding RM6,296 pada 2021.

“Ia diikuti oleh Profesional sebanyak RM5,900 serta Juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,668),” katanya dalam kenyataan sempena laporan Satistik Gaji dan Upah Malaysia 2022, semalam.

Mohd. Uzir berkata, selain itu, purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja separuh mahir me­ningkat kepada RM2,241 (2021: RM2,064) terutamanya disumbangkan oleh Pekerja sokongan perkeranian (RM2,555), diikuti Operator mesin dan loji, dan pemasang (RM2,158), Pekerja kemahiran dan pekerja pertuka­ngan yang berkaitan (RM2,154), dan pekerja Perkhidmatan dan jualan (RM2,139).

Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan bagi kate­gori pekerja berkemahiran rendah meliputi Pekerja asas me­ningkat sebanyak RM66 kepada RM1,815 berbanding RM1,749 tahun sebelumnya.

Mengulas situasi gaji dan upah mengikut strata, beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar merekodkan peningkatan kepada RM3,351 bagi kawasan bandar dan RM2,393 bagi kawasan luar bandar berbanding 2021.

Secara spesifik katanya, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus (2021: RM3,188, +3.2 peratus), manakala kawasan luar bandar menunjukkan kenaikan yang lebih ketara secara relatif sebanyak 10.5 peratus (2021: RM2,166, +3.9 peratus).

“Mengikut negeri, purata gaji dan upah bulanan menunjukkan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM4,666. Empat negeri lain juga melebihi paras purata nasional pada RM3,212 iaitu WP Kuala Lumpur (RM4,207), Selangor (RM3,737), WP Labuan (RM3,418) dan Pulau Pinang (RM3,313),” katanya.

Merumuskan keseluruhan situasi pada 2022, Ketua Perangkawan berkata, peningkatan penengah dan purata gaji dan upah bulanan disumbangkan oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan, disokong oleh peningkatan ketibaan pelancong dan peningkatan dalam pasaran buruh, terutamanya dalam sektor per­khidmatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×