PETALING JAYA: Eksport getah asli Malaysia meningkat pada Julai 2023 sebanyak 6.0 peratus kepada 51,785 tan metrik daripada 48,848 tan metrik bulan sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli NEGARA dengan jumlah 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Julai, diikuti Jerman (9.5 peratus), Pakistan (4.4 peratus), Amerika Syarikat (3.3 peratus) dan Brazil (2.2 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM0.95 billion pada Julai 2023, menurun 0.6 peratus berbanding Jun 2023 (RM0.96 billion),” jelas beliau dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir memberitahu, pengeluaran getah asli pada bulan berkenaan menurun 4.5 peratus kepada 28,533 tan metrik daripada 29,867 tan metrik bulan sebelumnya.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan, pengeluaran getah aslil negara turun 24.6 peratus daripada 37,843 tan metrik pada bulan sama tahun lalu, kata beliau.
Beliau berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 82.5 peratus berbanding sektor estet 17.5 peratus.
“Jumlah stok getah asli pada Julai 2023 menurun 9.9 peratus kepada 143,840 tan metrik berbanding 159,718 tan metrik pada Jun 2023. Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 87.9 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.9 peratus) dan estet getah (0.2 peratus),” katanya.
Mohd. Uzir berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan 1.5 peratus kepada 490.18 sen sekilogram daripada 497.70 sen sekilogram bulan sebelumnya, manakala Sekerap menurun 2.2 peratus kepada 471.14 sen sekilogram (Jun 2023: 481.91 sen sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 1.5 peratus hingga 2.3 peratus, kata beliau.
The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 1.5 peratus (daripada AS$1.32/kg kepada AS$1.30/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 2.7 peratus (daripada AS$1.53/kg kepada AS$1.49/kg). – UTUSAN










