PETALING JAYA: Eco World International Berhad (EcoWorld International) merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) lebih rendah sebanyak RM10.11 juta pada suku ketiga 2022 (3Q 2022) daripada RM55.45 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian itu didorong oleh keuntungan pertukaran asing yang timbul daripada pembayaran balik pendahuluan oleh EcoWorld-Ballymore dan pertukaran baki bank dalam denominasi pound berbanding kerugian pertukaran asing pada 3Q 2022.
“Ia turut disebabkan oleh kos kewangan yang lebih rendah berikutan penyelesaian penuh semua pinjaman pada suku semasa; bahagian kerugian yang lebih rendah dalam EcoWorld London dan pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada penempatan dana berikutan pembayaran balik pendahuluan pemegang saham oleh usaha sama United Kingdom (UK),” kataya dalam kenyataan.
EcoWorld International mencapai jualan RM1.003 bilion serta rizab RM157 juta dalam 10 bulan tahun kewangan 2023 (TK2023). Ini meletakkan Kumpulan di landasan yang betul untuk dicapai sasaran jualan RM1.4 bilion untuk TK2023.
Embassy Gardens yang menjana jualan RM525 juta, merupakan penyumbang terbesar kepada jualan Kumpulanm, diikuti Wardian sebanyak RM172 juta, London City Island (RM109 juta) dan Yarra One (RM64 juta).
Pada 31 Julai 2023, EcoWorld International mempunyai bersih tunai sebanyak RM801 juta. Termasuk baki tunai bersih Kumpulan di entiti JV, jumlah baki tunai bersih berjumlah RM831 juta.
Mengulas pencapaian itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng berkata, peningkatan pound sejak 4Q 2022 apabila Kumpulan mula-mula mengumumkan hasrat untuk mengagihkan lebihan pulangan tunai kepada pemegang saham telah meningkatkan nilai RM Kumpulan untuk stok yang belum terjual.
“Kami akan terus menumpukan pada kewangan saham untuk mengagihkan lebihan pulangan tunai kepada pemegang saham. Berkenaan pelancaran baharu, ini akan terus ditangguhkan sehingga keadaan pasaran bertambah baik dan tekanan kos menjadi stabil. Akibatnya, keperluan segera modal kerja bagi Kumpulan akan lebih rendah daripada anggaran asal,” katanya. – UTUSAN










