CIMB tambah sasaran kewangan kelestarian kepada RM100 bilion - Utusan Malaysia

CIMB tambah sasaran kewangan kelestarian kepada RM100 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menambah jumlah sasaran kewangan kelestarian kepada RM100 bilion di bawah rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Berimpak Hijau, Sosial serta Kelestarian (GSSIPS) menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penambahan jumlah komitmen kepada RM100 bilion itu dibuat memandangkan CIMB berjaya mencapai sasaran yang dimumkan pada 2022 iaitu sebanyak RM60 bilion.

Menurut beliau, setakat ini, CIMB telah menggerakkan hampir RM70 bilion dalam kewangan lestari sejak 2021 dengan kesedaran dan penggunaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang meningkat memperlihatkan pecutan dalam kewangan mampan diseluruh pasaran operasi CIMB melebihi jangkaan kumpulan berkenaan.

“Kami berbesar hati mengumumkan sasaran kewangan mampan kami yang lebih tinggi sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2024, lebih daripada tiga kali ganda komitmen awal kami yang diumumkan pada tahun 2021.

“Ini merupakan peningkatan yang signifikan, didorong oleh pertumbuhan pesat dalam penggunaan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial di kalangan pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan The Cooler Earth Sustainability Summit CIMB (The Cooler Earth 2023), di sini hari ini.

Menurutnya, perkembangan yang menggalakkan itu mengukuhkan lagi keyakinan CIMB terhadap peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau dan lebih berdaya tahan kerana ia memberi lebih banyak peluang baharu untuk institusi kewangan seperti bank bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Ujarnya, sasaran kewangan lestari sebanyak RM100 bilion itu bakal melengkapkan siri komitmen kemampanan yang dipertingkatkan yang telah diumumkan oleh CIMB pada 2021, seperti sasaran untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) Sifar Bersih, termasuk pelepasan yang dibiayai skop 3 menjelang 2050.

“Komitmen kewangan lestari dipandu oleh rangka kerja GSSIPS CIMB yang merupakan taksonomi dalaman bagi menyediakan kewangan lestari yang berimpak tinggi.

“Selaras dengan rangka kerja ini, komitmen kewangan lestari CIMB antara lain termasuk pembiayaan runcit, korporat dan komersial, pembiayaan perdagangan, pasaran modal hutang dan ekuiti, pengurusan kekayaan dan penyelesaian Perbendaharaan yang bersifat hijau, sosial, dan lestari serta yang berkaitan dengan kelestarian,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Sidang Kemuncak The Cooler Earth 2023, Abdul Rahman berkata, persidangan tahun ini bertujuan untuk menonjolkan pelbagai peluang kepada orang ramai dan perniagaan ke arah peralihan ekonomi rendah karbon dan lebih saksama.

“Matlamat kami dengan persidangan tahun ini adalah untuk memastikan perniagaan akan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul dan menjangka perkembangan masa depan yang berkaitan dengan perniagaan mampan serta meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam industri mereka.

“Selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN, kami berbangga dengan peranan kami sebagai fasilitator dan pembentuk amalan mampan serta kekal komited sepenuhnya untuk memangkin impak ekonomi, alam sekitar dan sosial yang positif dengan menyediakan pelbagai penyelesaian sejajar dengan prinsip ESG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN