Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada pagi ini sejajar dengan sentimen lemah dalam bursa serantau disebabkan pelabur berhati-hati menjelang pengumuman data utama ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China dijadual akhir minggu ini.

Memetik laporan Bernama, pada 9.15 pagi tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.27 mata kepada 1,443.18 daripada 1,443.45 penutup semalam.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 184 berbanding 172, manakala 327 kaunter lagi tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan dan 12 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 477.29 juta unit bernilai RM155.61 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn. Bhd., pasaran Wall Street `menghentikan’ penurunan empat hari berturut-turut semalaman, walaupun terdapat kebimbangan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh jangka panjang, ditambah pula dengan potensi penutupan kerajaan AS.

Di sebalik prestasi positif Wall Street, firma itu percaya peniaga mungkin kekal berhati-hati menjelang pengeluaran data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS, ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell, data perbelanjaan penggunaan AS dan data Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) China.

“Walau bagaimanapun, risiko penurunan harus dihadkan untuk pasaran hadapan tempatan dengan tumpuan pada Belanjawan 2024 akan datang,” katanya dalam nota.

Mengenai tumpuan sektor, firma itu percaya peniaga boleh melihat lebih banyak sektor bersifat defensif seperti utiliti, manakala saham dengan dividen yang lebih tinggi mungkin diutamakan memandangkan sentimen lebih berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi.

“Kami menjangkakan aktiviti perdagangan akan meningkat dalam sektor pembinaan dan bahan binaan menjelang Belanjawan 2024 dengan jangkaan projek infrastruktur mega akan diumumkan,” tambahnya.

Antara kaunter wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. tidak berubah pada RM8.87, Public Bank Bhd. menokok satu sen kepada RM4.19 dan CIMB Group Holdings Bhd. menokok dua sen kepada RM5.56. Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd. susut enam sen kepada RM10.08 dan Petronas Chemicals Group Bhd. susut empat sen kepada RM7.28. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN