PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah Wall Street apabila peniaga memberi respons ke atas kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat mengenai lebih banyak kenaikan kadar menjelang suku akhir 2023, kata penganalisis.
Menurut laporan Bernama, pada 9.05 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.11 mata kepada 1,445.10 daripada 1,448.21 penutup semalam.
Kaunter rugi mendahului kaunter untung sebanyak 200 berbanding 83, manakala 238 kaunter tidak berubah, 1,870 tidak diniagakan dan 49 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 142.17 juta unit bernilai RM58.36 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, indeks Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 370 mata akibat Wall Street terus merosot, manakala Nasdaq susut sebanyak 245 mata.
Sementara itu, hasil 10 tahun AS melonjak ke paras tertinggi 15 tahun kepada sekitar 4.49 peatus.
“Selepas pembukaan kukuh pada Rabu, FBM KLCI ditutup di bawah paras 1,450 apabila sentimen menjadi berhati-hati seiring dengan penurunan jualan di rantau ini.
“Walaupun bursa tempatan mungkin memasuki fasa penyatuan, kami tetap optimis bahawa aktiviti meraih untung akan berlaku apabila dana asing terus mempelbagaikan (pelaburan) ke rantau ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. susut tiga sen kepada RM8.87, Public Bank Bhd. susut dua sen kepada RM4.19, Petronas Chemicals Group Bhd. turun lima sen kepada RM7.26, Tenaga Nasional Bhd. naik empat sen kepada RM10.10 dan CIMB Group Holdings Bhd tidak berubah pada RM5.59.
Dalam saham aktif pula, KNM Group Bhd. menokok setengah sen kepada 12.5 sen, Eastern & Oriental Bhd. menokok 1.5 sen kepada 66.5 sen, dan Borneo Oil Bhd. turun setengah sen kepada satu sen.
Sementara itu, Indeks FBM Emas turun 22.88 mata kepada 10,703.76, Indeks FBMT 100 susut 22.58 mata kepada 10,369.43, Indeks FBM Emas Shariah susut 26.40 mata kepada 10,946.07, Indeks FBM menguncup 4 kepada 5.720 dan FBM ACE Indeks turun 5.14 mata kepada 5,209.00.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 28.80 mata kepada 16,199.17, Indeks Perladangan turun 19.56 mata kepada 6,905.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.75 mata kepada 173.66, dan Indeks Tenaga turun 0.50 kepada 891.39. – UTUSAN










