PETALING JAYA: BMW Group Malaysia kekal sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan mencatat penyerahan EV BMW, MINI dan BMW Motorrad lebih 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Menurut kenyataan syarikat itu, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding 1,557 unit EV BMW dan MINI yang diserahkan pada keseluruhan 2022.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen padu BMW Group Malaysia ke atas janji ‘Sheer Electric Driving Pleasure’, yang memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, visi ‘Alaf Elektrik Baharu’ Syarikat terletak pada komitmen mendalam terhadap elektrifikasi untuk membentuk semula masa depan mobiliti, di mana kemampanan, kemewahan dan inovasi berkumpul.
“Dalam era yang menuju transformasi, kami sangat teruja untuk menerajui perjalanan elektrifikasi Malaysia, disokong oleh sokongan pelanggan setia kami, peniaga dan rakan kongsi.
“Pencapaian ini mengiktiraf kedudukan kami, bukan sahaja dalam segmen EV premium tapi juga seluruh ekosistem EV di negara ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, De Visser berkata, BMW Group Malaysia menyedari keperluan untuk menangani kegusaran membabitkan jarak operasi dan isu pengecasan seperti dizahirkan oleh ramai bakal pemilik EV di negara ini.
Katanya, pengeluar kenderaan premium itu meluaskan lagi usahasama strategik yang dijalin dengan pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd., bagi memudah dan meluaskan akses pengecasan EV.
Tambahnya, kedua-dua organisasi kini memberi nafas kepada Charge Go, perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.
“Kami teruja untuk mempersembahkan konsep kenderaan pengecas mudah alih ini yang telah kami rungkaikan pada awal tahun lagi, bersama Gentari.
“Usaha sama yang kami jalin menekankan kepercayaan bahawa kolaborasi yang mencakupi seluruh industri adalah penting bagi memacu transformasi ke arah Alaf Elektrik Baharu.
“Syarikat berharap untuk memberikan inspirasi kepada lebih ramai pemain dalam arena ini untuk meningkatkan komitmen mereka ke atas pengelektrifikasian, justeru memperkayakan lagi ekosistem EV tempatan secara kolektif. Kerjasama ini akan direalisasikan menjelang penghujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN










