PETALING JAYA: BIMB Investment Management Bhd. (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, mengumumkan agihan pendapatan untuk dana Ekuiti Syariah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Global bagi BIMB-ARABESQUE i Global Dividend Fund 1 (BiGDF1) berakhir pada 31 Mac 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Azdini Nor Azman dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pemegang unit atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap BiGDF1.
Menurut beliau, keyakinan berkenaan telah diterjemahkan kepada prestasi kukuh yang membawa kepada agihan pendapatan sebanyak 2.90 sen seunit untuk kelas RM dan kelas USD, 2.80 sen seunit untuk kelas lindung nilai RM dan 2.60 sen seunit untuk kelas SGD.
“Hasil agihan pendapatan dana berkenaan ialah 6.02 peratus untuk kelas RM, 6.12 peratus untuk kelas USD, 6.19 peratus untuk kelas lindung nilai RM dan 6.10 peratus untuk kelas SGD.
“Dengan BiGDF1, landskap pengurusan dana berkembang melalui penyelesaian teknologi kewangan yang membina portfolio pelaburan yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan modal di samping menguruskan turun naik pasaran secara efektif, menganalisis data dan membuat keputusan tanpa intuisi,” katanya.

Beliau berkata, BiGDF1 menggabungkan nilai syariah dan prinsip ESG dengan lancar bagi memanfaatkan kuasa teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memberikan prestasi konsisten dan mampan.
“Kami kekal kukuh menyampaikan nilai dan prestasi mampan dengan pengurusan risiko menjadi keutamaan komitmen kepada para pelabur,” katanya.
Pertama kali diperkenalkan pada November 2015, BiGDF1 dilancarkan semula pada 2019 untuk pelabur runcit di mana ia merupakan satu daripada dana ekuiti global syariah terbesar di Malaysia, dengan saiz dana lebih RM200 juta setakat 31 Ogos 2023, menurut kedudukan Refinitiv Lipper IM.
Dana tersebut telah dianugerahkan Dana Ekuiti ESG Terbaik 2020 oleh The Asset Islamic Finance Awards 2020 dengan ia mengkhusus kepada peningkatan modal jangka panjang dan menyediakan pelabur akses kepada pelaburan dalam ekuiti global patuh syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, Kumpulan kekal komited menggabungkan prinsip syariah selain turut mempertimbangkan faktor ESG.
“Komitmen ini bertujuan untuk meningkatkan daya tahan dan memupuk rangkuman kewangan untuk semua.
“Kami percaya pelaburan tertumpu ESG bersedia untuk menjadi trend semasa, dan syarikat yang mengutamakan pertimbangan ESG akan cemerlang dan menunjukkan daya tahan jangka panjang yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN










