PETALING JAYA: Tambahan RM15 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka memberi implikasi ke atas hutang negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr. Tricia Yeoh berkata, walaupun tambahan itu meningkatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan kepada RM90 bilion, namun dari segi sejarah kerajaan tidak menggunakan sepenuhnya perbelanjaan yang diperuntukkan.
“Dokumen belanjawan mencadangkan kerajaan hanya berjaya membelanjakan sekitar 91 peratus daripada anggaran perbelanjaan pembangunan dari 2011 hingga 2021, kecuali pada 2018 di mana kerajaan membelanjakan lebih daripada anggaran.
“Justeru, terdapat keperluan mendesak agar dasar dan insentif yang diperuntukkan dalam RMK12 dikaji semula dan ditambah baik bagi mengatasi cabaran yang timbul daripada mencapai sasaran yang diberikan menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, walaupun kerajaan menyatakan Malaysia masih akan mengekalkan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus menjelang 2025 meskipun terdapat peningkatan, namun kenyataan sedemikian harus disokong oleh perbelanjaan jangka pertengahan dan ramalan hasil.
“Perbelanjaan pembangunan Malaysia hampir dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman, kerana lebih daripada 97 peratus daripada hasil digunakan untuk perbelanjaan mengurus.
“Bagi mencapai sasaran fiskal RMK12, terdapat keperluan yang lebih besar untuk mempercepatkan langkah ke arah subsidi bersasar seperti yang dijangkakan dalam Belanjawan 2024 untuk menjana penjimatan yang diperlukan,” ujarnya.
Justeru, Tricia berkata, Ideas menyeru kerajaan untuk memberi tumpuan kepada menyediakan ramalan dan anggaran yang kukuh dalam belanjawan akan datang untuk menyokong sasaran RMK12.
“Di sinilah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dijanjikan boleh mewujudkan keperluan undang-undang untuk pelaporan yang lebih terperinci, dan untuk dasar fiskal disokong oleh didorong data dan bukannya justifikasi populis.
“Sebagai sebuah negara yang bercita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang, kami tidak menjangkakan ia mencapai sasaran.
“Sehingga kini, gaji bulanan median direkodkan pada RM2,250, manakala sasaran yang ditetapkan ialah RM2,900 sebulan menjelang 2025. Namun tahap gaji hari ini hanya 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), masih di bawah paras 40 peratus,” katanya. – UTUSAN










